Malaysia serah nota bantahan kepada Vietnam

Penguat kuasa Maritim Malaysia memeriksa bot Vietnam yang ditahan pada jarak lebih kurang 101 batu nautika dari Kuala Kemaman.- Foto arkib Sinar Harian
Penguat kuasa Maritim Malaysia memeriksa bot Vietnam yang ditahan pada jarak lebih kurang 101 batu nautika dari Kuala Kemaman.- Foto arkib Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan Malaysia hari ini menyerahkan nota bantahan kepada Vietnam mengenai pencerobohan berulang kali oleh bot nelayan negara itu terhadap perairan Malaysia, kata Wisma Putra.

Duta Vietnam ke Malaysia Le Quy Quynh, telah dipanggil ke Wisma Putra bagi menjelaskan tentang banyaknya jumlah pencerobohan bot Vietnam ke dalam perairan Malaysia.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin telah menyerahkan nota bantahan itu dalam satu pertemuan dan kerajaan Vietnam telah diminta mengambil langkah bagi memperbetulkan keadaan tersebut.

“Duta Vietnam itu telah mengambil maklum mengenai bantahan itu dan memberi jaminan akan menyampaikan kedudukan kerajaan Malaysia kepada pihak berkuasa Vietnam,” menurut Wisma Putra.

Wisma Putra berkata jaminan juga diberikan bahawa pencerobohan itu adalah perbuatan haram di bawah undang-undang Vietnam dan pihak berkuasa tempatan akan dimaklumkan mengenai permasalahan itu.

Dalam pertemuan itu kerajaan Malaysia menjelaskan bahawa sejumlah 748 bot dan 7,203 awak-awak Vietnam ditahan sejak 2006 hingga 2019. “Pencerobohan terhadap perairan Malaysia oleh nelayan Vietnam itu bukan sahaja mengancam warga Malaysia tetapi juga pelanggaran terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Malaysia,” kata Wisma Putra.

Ia juga melanggar undang-undang antarabangsa termasuk peruntukan yang berkaitan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, katanya.

Wisma Putra berkata hubungan dua hala Malaysia-Vietnam kekal kukuh dengan kedua-dua negara menikmati hubungan yang mesra dalam pelbagai sektor di bawah rangka kerja perkongsian strategik.

Artikel Berkaitan:

"Pencerobohan berulang oleh nelayan Vietnam hanya menjejaskan usaha yang dilakukan oleh kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan," katanya. - Bernama