P Kumar hanya penaja, bukan pengerusi pusat tahfiz - Rafiei

Rafiei, Profil calon PN Bahau yang tersebar.
Rafiei, Profil calon PN Bahau yang tersebar.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Pas Negeri Sembilan mengakui kemungkinan berlaku kesilapan yang tidak disengajakan pada profil calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau, P Kumar yang ditulis sebagai Pengerusi Pusat Tahfiz al-Quran.

Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha berkata, pihaknya telah mengarahkan semakan dan pembetulan dibuat segera bagi mengelakkan salah faham.

"Saya dapat maklumat daripada Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) pusat bahawa Kumar merupakan penaja kepada sebuah pusat tahfiz di Sabah.

"Mungkin ada kekeliruan di situ. Tapi jika betul ada kesilapan, kita minta maaf kerana ia bukan disengajakan," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Rafiei, pihaknya juga menolak dakwaan yang parti itu cuba menipu profil calon.

Tambah beliau, sepatutnya setiap profil calon perlu disemak melalui 'war room' dahulu dan kemudian dihantar ke penerangan sebelum dikongsi di mana-mana platform.

"Semua maklumat dalam profil itu perlu dipastikan kesahihannya dulu. Tapi saya difahamkan yang beliau (Kumar) terus berkongsi di Facebooknya tanpa melalui proses semakan dahulu.

"Saya rasa hanya seorang sahaja profil calon kita yang berlaku kekeliruan dan jika anggap keseluruhannya begitu memang tak adillah bagi kita," katanya.

Rafiei yang merupakan calon PN DUN Pilah berkata, kesilapan kecil itu menyebabkan ada pihak tertentu yang memburukkan PN dan calon Pas lain.

Tambahnya, jika Kumar bukan pengerusi pusat tahfiz sekalipun, beliau sememangnya layak untuk menjadi calon Pas mewakili PN.

"Saya kenal beliau yang merupakan Timbalan Ketua DHPP Negeri Sembilan, tapi tidaklah sehingga maklumat keseluruhan profilnya," katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial profil Kumar berhubung berkaitan pendidikan dan jawatannya sebagai Pengerusi Pusat Tahfiz yang dipertikaikan.

Sinar Harian cuba mendapatkan komen beliau, namun gagal malah sidang akhbar yang dijadualkan pada Selasa turut dibatalkan dengan tiada alasan khusus dimaklumkan.

Pada PRN ini, Pas Negeri Sembilan menampilkan tiga calon bukan Islam dari DHPP iaitu N Sathes Kumar (DUN Mambau) dan S Ragu di (DUN Lukut).