PRN: Zahid beri amaran kepada ahli UMNO jangan sabotaj parti

Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas Program Santai Bersama Rakyat di Desa Sri Pantai pada Selasa.
Ahmad Zahid pada sidang akhbar selepas Program Santai Bersama Rakyat di Desa Sri Pantai pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - UMNO tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mana-mana ahlinya yang didapati melakukan sabotaj kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berlakunya pengkhianatan itu di enam negeri yang terlibat dalam PRN.

Menurutnya, masa untuk menjadi duri dalam daging kepada parti telah berlalu.

"Setakat ini tiada laporan rasmi yang diterima oleh Lembaga Disiplin parti dan saya sendiri. Saya cuma bagi gambaran jika ada sabotaj pada parti, maka garis panduan yang ada pada Lembaga Disiplin itu pasti.

"Jika ada laporan dan bukti-bukti nyata dalam media sosial, rakaman video atau audio kita akan ambil tindakan," katanya kepada pemberita ditemui selepas Program Santai Bersama Rakyat di Desa Sri Pantai di sini pada Selasa.

Menurutnya, ketika ini adalah waktu terbaik untuk menggerakan jentera serta menggamit sokongan ahli tegar parti tapi juga nenyantuni rakan dalam Pakatan Harapan (PH) demi semangat Kerajaan Perpaduan.

Pada masa sama katanya, perlu juga menyantuni dan menggamit dokongan pengundi yang bukan ahli mana-mana parti.

"Ini satu usaha yang perlu dilakukan dan kita yakin bukan saja di Negeri Sembilan, malah di lima negeri lain kita akan berusaha sebaik mungkin untuk gelombang baharu bagi mendokong Kerajaan Perpaduan di Putrajaya," katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid menyelar tindakan pihak tertentu yang berterusan memainkan isu yang beliau kononnya rasuah susulan ucapannya di Terengganu baru-baru ini.

Jelasnya, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjelaskan bahawa ucapan menteri berlainan dengan calon-calon yang bertanding dalam pilihan raya.

"Itu harus difahami dan saya mempunyai garis panduan sendiri berdasarkan kepada Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan jangan menggunakan perkara demikian kononnya ini rasuah," katanya.