PRN: Penyokong Bossku sokong PN hanya propaganda pembangkang

Ahmad Zahid beramah mesra bersama penyokong pada program Sembang Santai bersama Calon BN Bagan Pinang dan Linggi di Port Dickson pada Selasa.
Ahmad Zahid beramah mesra bersama penyokong pada program Sembang Santai bersama Calon BN Bagan Pinang dan Linggi di Port Dickson pada Selasa.
A
A
A

PORT DICKSON - Dakwaan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu 'Bossku' yang menyatakan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) merupakan propaganda pembangkang semata-mata.

Malah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan itu juga telah dinafikan oleh anak kepada Najib iaitu Nooryana Najwa baru-baru ini.

"Datuk Seri Najib tidak mengiktiraf kumpulan itu, malah beliau memberi dukungan kuat (kepada) BN, PH (Pakatan Harapan) dan Kerajaan Perpaduan.

"Ini adalah propaganda pihak sana, Datuk Seri Najib bekas pemimpin kita yang rapat dengan UMNO dan BN,” katanya pada sidang akhbar selepas program Sembang Santai bersama Calon BN Bagan Pinang dan Linggi pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa penyokong Bossku tidak menunggang nama Najib tetapi merasakan tertipu dengan Ahmad Zahid.

Susulan itu Nooryana telah membuat kenyataan menafikan Syed Muhammad Imran telah menerima arahan daripada bapanya untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

Sementara itu Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO yakin mesej sokongan Najib datang daripada tiga anak beliau yang merupakan ahli UMNO.

"Saya yakin bukan sahaja kenyataan Yana, Nazif dan Nizar yang terlibat dengan politik, malah lebih konsisten.

"Itulah mesej yang datangnya daripada Najib melalui anakanda beliau dan melalui peguam yang melontarkan pandangan menerusi saluran media rasmi oleh bossku," ujarnya.