KPM, kerajaan rayu keputusan kembalikan jawatan cikgu Yahaya

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak mengembalikan semula jawatan kepada Yahaya Wahi selepas dipecat kerana tidak hadir ke sekolah selama 1,535 hari, namun hasrat guru itu meneruskan tugas belum kesampaian apabila Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya berhubung keputusan berkenaan.

Peguam E Ernest Balasingam yang mewakili Yahaya, 44, berkata, mahkamah dijangka menetapkan tarikh perbicaraan ketika pengurusan kes pada 28 Ogos ini.

"Kita akan meneruskan ‘pertempuran' untuk mendapatkan keadilan dalam prosiding akan datang.

“Setakat ini, anak guam saya bertugas dengan mengajar subjek sains dan matematik menerusi kelas persendirian,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, K Muniandy memutuskan supaya jawatan Yahaya sebagai tenaga pengajar dalam perkhidmatan perguruan dikembalikan.

Beliau memutuskan demikian selepas membenarkan semakan kehakiman Yahaya untuk membatalkan pemecatannya dan dilantik semula sebagai guru di sekolah yang boleh dilalui oleh jalan darat.

Guru itu menamakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran, Tan Sri Khair Mohamad Yusof, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Perak, Jabatan Pendidikan Perak, Kementerian Pendidikan dan kerajaan sebagai responden.

Yahaya, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Sains dan Komputer dengan Pendidikan (Fizik) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mula mengajar subjek Sains dan Matematik pada 15 Januari 2002.

Beliau memulakan kerjaya perguruannya di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor selama enam tahun sebelum berkhidmat di Gerik dan secara keseluruhan, memiliki pengalaman hampir 18 tahun dengan rekod prestasi yang cemerlang.

Pada 2007, Yahaya memohon bertukar ke mana-mana sekolah di Gerik untuk berada dekat dengan isterinya yang juga seorang guru serta anak mereka selain berhampiran negeri Kelantan bagi membolehkan beliau tidak berjauhan dengan ibunya yang sudah tua.

Permohonan beliau diluluskan dan Yahaya mengajar di dua sekolah di Gerik sebelum ditukarkan ke SK RPS Kemar yang terletak di pedalaman Gerik pada 16 Disember 2012.

Bagaimanapun, beliau gagal melaporkan diri dan hanya berbuat demikian pada 3 April 2013 serta mula mengajar pada 16 Mei 2017.

Dilema Yahaya bermula apabila beliau terpaksa menyeberang tasik untuk ke sekolah dengan menaiki bot dan ini menyebabkan guru itu berasa tertekan kerana mengalami fobia air selepas hampir lemas semasa kanak-kanak manakala abangnya meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Beliau telah menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan di Sungai Petani, Kedah dan dirujuk ke Jabatan Psikiatri untuk penilaian lanjut pada 2015.

Selain itu, terdapat laporan perubatan dari Hospital KPJ Ipoh pada 2017 daripada pakar psikiatri perunding mengenai keadaan beliau.

Susulan fobia itu, Yahaya tidak hadir ke sekolah selama empat tahun dari 3 April 2013 hingga 16 Mei 2017 namun beliau kembali mengajar setelah menjumpai jalan darat untuk ke tempat kerjanya.

Bagaimanapun, Pengetua SK RPS Kemar, Gerik telah memulakan tindakan tatatertib terhadap Yahaya dan pada 10 April 2019, guru itu menerima surat yang memaklumkan perkara itu.

Menurut Yahaya, beliau telah cuba berunding dengan pihak yang berkaitan dan memohon untuk bertukar sekolah namun tidak diendahkan.

Yahaya kemudian dipecat daripada perkhidmatan perguruannya pada 9 Ogos 2019 dan semua emolumen beliau dihentikan mulai 6 Ogos tahun yang sama.

ARTIKEL BERKAITAN: Guru dapat semula jawatan selepas dipecat tidak hadir 1,535 hari