Tiada keperluan panggil calon didakwa terlibat masalah rumah tangga - Pas

 Dr Alias Razak
Dr Alias Razak
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pas Terengganu tidak akan memanggil calon pilihan raya negeri (PRN) yang didakwa terlibat dengan krisis rumah tangga seperti didedahkan oleh seorang wanita baru-baru ini.

Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Dr Alias Razak berkata, ia disebabkan calon berkenaan telah melepasi tapisan di peringkat tertinggi parti sebelum dipilih dan dibenarkan untuk bertanding.

"Calon parti kita ni telah ditapis oleh Majlis Syura Ulama dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat terlebih dahulu. Semua isu-isu yang dikaitkan ini kita telah teliti. Bila dah 'clear', barulah kita akan tentukan sama ada calon itu layak atau tak untuk jadi calon.

"Kita bukan tangkap muat sahaja sesiapa untuk jadi calon. Dalam Pas cukup teliti. Semua latar belakang calon ini dah disiasat sebelum penamaan calon.

"Saya rasa semua ni dah dalam tindakan jadi buat apa kita nak panggil dia lagi (kerana) kita sudah yakin (dengan) siasatan dan tapisan yang kita buat sebelum penamaan calon," katanya pada sidang akhbar di pejabat Pas di sini pada Selasa.

Menurut Alias, beliau percaya isu berkenaan sengaja 'dicipta' untuk dijadikan modal politik dan kempen pada pilihan raya.

"Saya rasa isu itu sengaja dibuat untuk pilihan raya. Kalau benda tu (bukti) ada dia (wanita itu) boleh laporkan kepada pejabat agama dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

"Kalau betul isu ni kenapa sebelum ini tak didedahkan. Bila penamaan calon baru timbul. Ini strategi kotor di pihak musuh. Pas ini tak pernah gunakan isu-isu sebegini untuk lawan calon.

"Ia jelas bertujuan untuk menjejaskan kredibiliti calon kita dan dijadikan mainan politik menjelang pilihan raya," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, calon berkenaan akan mengambil tindakan undang-undang kerana isu tersebut telah dimanipulasi oleh beberapa pihak untuk dijadikan modal politik.

"Oleh kerana pihak tertentu masih memainkan isu ini, beberapa tindakan diambil oleh calon berkenaan melalui peguamnya termasuk menghantar notis injuksi kepada individu dan media yang menyiarkan berita berkenaan," katanya.

Sabtu lalu, seorang kontraktor wanita tampil membuat pengakuan mendakwa digantung tidak bertali oleh suaminya yang merupakan calon sebuah parti politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

Ezza Suria Muda, 38, mendedahkan sehingga kini tidak mengetahui status hubungannya dengan pemimpin politik berkenaan selepas lelaki itu bertindak mendiamkan diri serta cuba mengelak setiap kali diajak berbincang bersama.

Wanita itu mendakwa, ahli politik berusia lewat 40an itu bertindak mendiamkan diri selepas perkahwinan mereka di negara jiran diketahui isteri pertama lelaki berkenaan pada Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, UMNO Terengganu dalam sidang akhbar di Kemaman pada Selasa menafikan penglibatan UMNO dalam isu berkenaan.

Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, parti itu tidak pernah berkomplot dalam hal tersebut untuk menjatuhkan reputasi calon PN.

Jelasnya, wanita yang mengaku sebagai isteri kedua calon tersebut datang sendiri untuk bertemu beliau di pejabatnya di sini beberapa minggu lalu untuk menceritakan masalah dialami.