Maritim Malaysia, Karangkraf bincang usaha sama strategik

Delegasi Maritim Malaysia Negeri Selangor bersama Pengasas Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub di kompleks Karangkraf pada Selasa.
Delegasi Maritim Malaysia Negeri Selangor bersama Pengasas Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub di kompleks Karangkraf pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor mengadakan lawatan kerja ke Kompleks Kumpulan Karangkraf bagi membincangkan beberapa usaha sama strategik jangka masa panjang.

Timbalan Pengarah (Operasi), Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, lawatan tersebut bertujuan melihat gerak kerja, proses penerbitan akhbar dan pengurusan syarikat berkenaan namun, penekanan adalah kepada kempen kesedaran komuniti maritim.

"Ia sebagai pendedahan kepada warga Maritim Malaysia khususnya berkaitan produk Kumpulan Media Karangkraf yang merupakan sebuah syarikat penerbitan bumiputera terbesar di Malaysia.

“Di samping itu, kami ingin membincangkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mana ia bakal memberi kesedaran dan impak positif kepada komuniti maritim merangkumi nelayan, pengusaha bot pelancong dan feri," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Sharenliza (tiga dari kanan) bersama sebahagian delegasi Maritim Malaysia.
Mohd Sharenliza (tiga dari kanan) bersama sebahagian delegasi Maritim Malaysia.

Delegasi seramai 25 orang itu turut ditemani Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB), Azizi Fickry dan Pengurus Tugas-Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang.

Dalam pada itu, Mohd Sharenliza berpandangan, pihaknya juga merancang untuk bekerjasama dalam beberapa program temubual bersama Sinar Harian bagi memperkenalkan peranan agensi tersebut kepada orang awam.

Ujar beliau, jalinan kerjasama dengan Karangkraf diharap dapat memperluaskan lagi kesedaran dalam komuniti maritim sebagai antara kumpulan sasar utama selain di peringkat universiti.