PRN: Calon PH yakin pertahan kerusi Pinang Tunggal

Zainuddin (tiga dari kanan) ketika turun berkempen di kawasan Pinang Tunggal.
Zainuddin (tiga dari kanan) ketika turun berkempen di kawasan Pinang Tunggal.
A
A
A

KEPALA BATAS - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi N03 Pinang Tunggal, Zainuddin Mohamed yakin akan dapat mengekalkan kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini daripada jatuh ke tangan pihak lawan.

Bekas Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) itu berkata, beliau telah berkhidmat hampir empat tahun di kawasan itu dan telah membawa banyak penambahbaikan serta pembaharuan buat penduduk.

"Kalau nak dipertikaikan dengan kerja yang saya dah buat, saya rasa tak ada sesiapa boleh pertikai.

"Jadi ini kelebihan yang saya ada dan saya akan mula bercerita kepada pengundi di sini apa yang telah saya lakukan sepanjang kempen selama dua minggu ini... mungkin pengundi cuma nampak ada pembangunan, ada penambahbaikan tapi tidak tahu dari mana datangnya hasil-hasil itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Pada PRN kali ini, Zainuddin dicalonkan oleh PKR untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi oleh penyandangnya, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dengan majoriti tipis 127 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Zainuddin berkata, walaupun berdepan cabaran satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN), namun beliau yakin pengundi dapat menilai hasil sumbangannya yang telah berkhidmat selama ini dan akan terus memberi khidmat yang terbaik kepada penduduk Pinang Tunggal sekiranya diberikan mandat pada 12 Ogos nanti.

"Saya adalah calon yang bersama Kerajaan Perpaduan. Jadi saya rasa prestasi yang telah ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi nilai tambah kepada saya untuk menang di kerusi ini.

"Saya juga mempunyai hubungan yang baik dengan anak muda di sini malah saya sendiri masih muda jika nak dibandingkan dengan lawan saya... saya rasa itu memberi kelebihah malah saya yakin mampu lakukan yang lebih baik," katanya.

Pada PRN kali ini, Zainuddin akan menentang calon PN daripada Pas, Bukhori Ghazali.