Bersih lancar kempen #UndiLokal

Thomas Fann tengah bersama NGO penggerak ketika melancarkan kempen #UndiLokal di pejabat Bersih pada Selasa.
Thomas Fann tengah bersama NGO penggerak ketika melancarkan kempen #UndiLokal di pejabat Bersih pada Selasa.
A
A
A

PETALING JAYA - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melancarkan kempen #UndiLokal bagi mengembalikan tumpuan pengundi di enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini kepada isu negeri dan tempatan.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, perkara ini penting kerana sekiranya kerajaan negeri tidak dipilih dengan baik ia akan menjejaskan kebajikan dan masa hadapan rakyat.

Jelasnya, sebuah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk melantik ahli majlis, yang mana keputusan akan memberi kesan secara langsung kepada perkhidmatan, pembangunan dan perniagaan tempatan.

"Secara rumusannya, PRN ini adalah penting kerana ia secara langsung memberi kesan kepada kualiti hidup kita," katanya ketika sidang akhbar pelancaran kempen #UndiLokal di pejabat Bersih dekat sini pada Selasa.

Tambahnya, pada pemantauan Bersih ketika ini, kempen parti politik yang bertanding dilihat lebih memfokuskan kepada isu yang lebih nasional serta memainkan isu referendum terhadap Kerajaan Perpaduan mengenai isu-isu seperti 3R (Kaum, Agama, Raja).

"Jadi kita mahu isu-isu yang lebih bersifat tempatan diutamakan, yang lebih memfokuskan kepada kebajikan rakyat dan pembangunan di kawasan-kawasan negeri," ujarnya.

Selain itu, katanya, #UndiLokal juga meminta pengundi untuk turun beramai-ramai bagi menjalankan tanggungjawab demokrasi pada 12 Ogos nanti.

"Matlamat kempen ini juga adalah mahu meningkatkan peratusan keluar mengundi pada PRN. Data sejarah PRN yang tidak diadakan sempena Pilihan Raya Umum (PRU) menunjukkan peratusan keluar mengundi adalah 10-15 peratus lebih rendah daripada PRU.

"Kadar keluar mengundi untuk PRU15 ialah 74 peratus, bermakna peratusan keluar mengundi untuk enam PRN mungkin sekitar 59-64 peratus, jika kita tidak menyeru untuk peratusan keluar mengundi yang lebih tinggi," katanya.

Tambahnya lagi, untuk itu pihaknya berharap peratusan keluar mengundi pada enam PRN kali ini boleh mencecah lebih 70 peratus keluar mengundi.

"Jadi jika anda mahu pengurusan perkhidmatan, pembangunan dan perniagaan tempatan yang lebih baik, keluarlah mengundi dan undilah kerajaan negeri yang lebih baik," katanya.

Kempen #UndiLokal ini mendapat kerjasama Astro Awani serta beberapa NGO yang lain, ia menggesa orang ramai untuk menggunakan tanda pagar #UndiLokal untuk menyuarakan isu tempatan di kawasan mereka serta tag kepada calon-calon yang bertanding untuk perhatian mereka.