Sunting video Sultan Perak: Polis rakam keterangan wanita

Razarudin
Razarudin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis akan merakam keterangan seorang wanita berhubung video yang ditularkan mengenai sebahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang disunting hingga dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan politik kepartian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini ada 24 laporan polis diterima.

"Seorang wanita berusia lingkungan 40-an akan dirakam percakapannya di Balai Polis Cyberjaya, kira-kira jam 2.30 petang, pada Selasa.

"Siasatan bersabit penularan rakaman video Sultan Perak yang diolah seakan menyokong sebuah parti politik," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menerusi video itu, seseorang dipercayai wanita yang juga pemimpin Muslimat Pas Melaka cuba mengetengahkan pandangan Sultan Nazrin terhadap Pas dalam klip video itu.

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak turut membuat laporan polis berhubung video yang ditularkan itu.

Dewan Negara Perak menerusi kenyataan ditandatangani Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, pihaknya percaya pihak yang memetik dan menularkan semula titah Sultan Nazrin pada tahun 2013 berkenaan adalah dengan tujuan mahu mempengaruhi pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.

Video berkenaan memuat naik sebahagian kecil titah Sultan Nazrin yang dizahirkan pada 19 Februari 2013 ketika baginda memangku sebagai Raja Perak bertitah di Majlis Wacana Perpaduan Ummah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertemakan 'Perpaduan Ummah: Harapan, Realiti dan Cabaran'.