Amanah kutuk tindakan rejim Zionis

DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD
DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan kuasa secara keterlaluan oleh rejim Zionis Israel ke atas sasaran awam dengan mengebom bertalu-talu bandar di Semenanjung Gaza.

Pengerusi Biro Antarabangsanya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, setiap kali Ramadan, umat Islam di Timur Tengah khususnya yang berada di Gaza, Palestin menghadapi dugaan dan asakan yang dahsyat.

Tahun ini katanya, tiada beza apabila Israel menggunakan jet pejuang canggih mereka untuk mengebom rakyat Palestin bertalu-talu sehingga mengorbankan ramai orang awam termasuk wanita dan anak kecil.

“Perlu diingatkan, kemarahan rakyat Arab terutamanya Palestin dalam masa terdekat ini berpunca daripada sikap provokasi Israel dan Amerika Syarikat yang telah mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

“Belum reda lagi kemarahan dunia terhadap pengisytiharan tersebut, AS dan Israel mengisytiharkan pula pergunungan Golan sebagai sebahagian dari wilayah Israel. Ini merupakan provokasi berterusan yang telah menimbulkan kemarahan umat Islam dunia terutamanya yang berada di Palestin,” katanya.

Lebih membimbangkan, Iran pula dikenakan sekatan ekonomi dan jualan minyak oleh Amerika Syarikat atas tuduhan yang tidak terbukti, iaitu isu tenaga nuklear dan tentera Elit Guard Iran yang kononnya merupakan kumpulan pengganas.

Jelasnya, ia adalah provokasi yang ditimbulkan hanya untuk menimbulkan kemarahan orang Islam di Timur Tengah.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia kutuk serangan rejim Zionis ke atas Palestin

Artikel Berkaitan: