Kawalan di sempadan Malaysia-Thailand dipertingkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kawalan di sempadan Malaysia-Thailand terutama di Sungai Golok akan dipertingkat bagi mengelak kemasukan mercun dan bunga api secara haram menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata pemeriksaan dengan kerjasama agensi kerajaan lain dipertingkat memandangkan permintaan mercun dan bunga api yang tinggi.

“Kebiasannya aktiviti penyeludupan berlaku di kawasan pantai timur berbanding di sebelah utara.

“AKSEM telah menjalankan risikan dua bulan lebih awal bagi mengekang kemasukan barang terlarang bukan sahaja mercun tetapi juga dadah, rokok dan lain-lain,” katanya kepada Bernama.

Shaharudin berkata risikan pihaknya mendapati modus operandi yang biasa digunakan penyeludup ialah membawa bekalan mercun dalam skala kecil bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan dilakukan antara pukul 1 hingga 3 pagi.

“Penyeludup ini juga dikesan menggunakan sindiket tonto untuk mengganggu tugas penguatkuasaan anggota AKSEM,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM90,569 yang cuba diseludup masuk ke negara ini bagi tempoh Januari hingga awal Mei tahun ini.

“Usaha berterusan akan dilakukan bagi mengekang aktiviti penyeludupan barang terlarang di sempadan negara,” katanya.- Bernama

Artikel Berkaitan: