Isu Nik Abduh selesai - Ahmad Yakob

Ahmad menyampaikan ucapan Pelancaran Program Manifesto Pilihan Raya Umum PN negeri Kelantan di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah pada malam Isnin. - Foto Bernama
Ahmad menyampaikan ucapan Pelancaran Program Manifesto Pilihan Raya Umum PN negeri Kelantan di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah pada malam Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

TANAH MERAH - "Itu semua sudah selesai, sahabat kita semua," kata Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob ketika ditanya mengenai kenyataan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz yang mahu berehat daripada politik.

Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan memberitahu, isu berkenaan sudah selesai dan beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Jawapan ringkas itu diberikan Ahmad kepada pemberita selepas Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) Kelantan, Kelantan Maju Rakyat Sejahtera (Manifesto PRU Dewan Negeri Kelantan ke-15) pada Isnin.

Media sebelum ini melaporkan, Nik Mohamad Abduh atau Nik Abduh mengumumkan ‘berpuasa’ dan berehat daripada politik tanah air.

Bekas Ahli Parlimen Bachok itu menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Facebook bagaimanapun tidak mendedahkan tempoh rehat beliau itu.

Dalam hantaran sama, Nik Abduh memaklumkan perkara itu merupakan tempoh paling sukar buat diri beliau dan bondanya.

"Saya puasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda.

“Semoga Pas bertambah gagah dengan kepimpinan terbaik untuk memacu masa depan negara,” katanya dalam hantaran berkenaan.

Difahamkan, Nik Abduh mengambil keputusan itu selepas berlaku konflik namanya tidak tercalon untuk bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Bapa saudaranya, Nik Din Nik Mat mendakwa Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjadi punca anak saudaranya tidak dicalonkan di DUN Chempaka.

Nik Din juga mendakwa, tindakan itu dibuat kerana tidak mahu ahli keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz bertapak di Pengkalan Chepa.

Bagaimanapun, Mohd Amar menafikan beliau terlibat menggugurkan nama Nik Abduh dan menyifatkan tuduhan itu satu fitnah.

ARTIKEL BERKAITAN: PRN: Nik Abduh tidak dicalonkan

Nik Abduh tolak tawaran jadi calon PRN - Tuan Ibrahim

Mohd Amar didakwa punca nama Nik Abduh tiada sebagai calon

PRN: Mohd Amar nafi dakwaan gugur nama Nik Abduh sebagai calon

Isu Nik Abduh, Mohd Amar: Nik Din diam diri