'Akaun Bersatu masih beku, calon PN bertanding guna duit sendiri'

PN Selangor mengakui kekangan kewangan antara cabaran utama dihadapi 56 calon kerusi DUN pada PRN Selangor kali ini. - Foto Awani
PN Selangor mengakui kekangan kewangan antara cabaran utama dihadapi 56 calon kerusi DUN pada PRN Selangor kali ini. - Foto Awani
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) Selangor mengakui kekangan kewangan antara cabaran utama dihadapi 56 calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Menurut Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, ia bagaimanapun tidak membantutkan semangat gabungan itu untuk meneruskan perjuangan dalam misi merampas negeri Selangor kali ini.

"Memang kewangan menjadi kekangan besar, akaun Bersatu dibeku oleh kerajaan entah berapa lama.

"Sepatutnya kalau parti politik nak siasat lama pun... selepas siasat bagilah peluang mereka menguruskan duit mereka.

"Kita dalam bajet yang terhad, Pas antara parti tidak banyak duit tapi kita percaya bukan duit menjadi keutamaan, mana kewangan yang ada kita gerakan," katanya.

Beliau berkata, selain menggunakan duit calon sendiri, PN juga turut mendapat sokongan rakyat.

"Calon gunakan dana sendiri biar rakyat Selangor tahu, kita bertanding atas kewangan sendiri lawan parti yang menggunakan segala banyak kemudahan dan kepentingan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media PN Selangor di Shah Alam pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata PN menawarkan calon-calon yang bersih dan berintegriti tinggi untuk menerajui negeri Selangor sekiranya diberi mandat pada 12 Ogos nanti.

"Calon PN tiada kluster mahkamah, tiada kluster yang keluar penjara, semuanya bebas. Kita harapkan rakyat Selangor, kita dah berikan yang terbaik, untuk beri khidmat terbaik kepada rakyat Selangor.

"Berilah kepercayaan dan peluang, ini bukan pertama kali, kita pernah jadi kerajaan negeri sebelum ini, rakyat telah menilai dan ini peluang terbaik untuk rakyat buatkan perubahan bentuk Selangor baharu untuk PN," katanya lagi. - Awani

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!