Polis buru suspek kes cabul di LRT Stesen Maluri

Polis giat memburu suspek kes cabul seorang wanita di platform LRT Stesen Maluri, Cheras pada 28 Julai. - Gambar hiasan.
Polis giat memburu suspek kes cabul seorang wanita di platform LRT Stesen Maluri, Cheras pada 28 Julai. - Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis giat memburu suspek kes cabul seorang wanita di platform Transit Aliran Ringan (LRT) Stesen Maluri, Cheras pada 28 Julai.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, siasatan berhubung kes tersebut sedang dijalankan.

Beliau berkata, pihaknya berusaha mengesan suspek dengan kerjasama beberapa pihak lain.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi talian Hotline Polis Cheras iaitu 03-9284 5050/5051 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

"Satu kertas siasatan juga telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan," katanya pada Isnin.

Terdahulu, satu klip video berdurasi satu minit 10 saat di aplikasi Twitter yang dimuat naik pemilik akaun 'localrkyt' memaparkan seorang lelaki melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita.

Orang ramai yang berada di lokasi kejadian berjaya membantu meleraikan mangsa daripada suspek, bagaimanapun suspek gagal diberkas kerana tindakan agresifnya sebelum meloloskan diri jam 8.05 pagi.