Polis sita Lamborghini dipandu secara berbahaya di SDE

Tular di media sosial lima pemandu kereta mewah yang dikesan memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru baru-baru ini. Gambar kecil: Kamarul Zaman
Tular di media sosial lima pemandu kereta mewah yang dikesan memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru baru-baru ini. Gambar kecil: Kamarul Zaman
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis telah menyita lima kereta mewah jenis Lamborghini dan membuka kertas siasatan terhadap lima individu yang dipercayai memandu kereta berkenaan secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai Desaru (SDE), Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kelima-lima pemandu berusia 44 hingga 64 tahun itu telahpun diambil keterangan pada hari yang sama dan disaman atas pelbagai kesalahan lalu lintas, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung lima pemandu yang memandu melulu dan merbahaya di SDE, dekat Kota Tinggi.

Sebelum ini, tular video berdurasi lebih seminit yang memaparkan aksi berbahaya lima pemandu berkenaan yang memandu secara melulu semasa memotong kenderaan lain di lebuh raya, dan semua mereka dipercayai dalam perjalanan dari arah Senai menghala ke Bandar Penawar untuk menghadiri satu program. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Polis akan panggil lima pemandu kereta mewah