Pas tolak politik ugutan, balas dendam - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri ketika ditemui do Kampung Merang di sini.
Ahmad Samsuri ketika ditemui do Kampung Merang di sini.
A
A
A

PERMAISURI - Pas menolak sebarang bentuk politik berbaur ugutan dan balas dendam seperti dilakukan pihak tertentu semata-mata ingin mendapatkan sokongan pengundi pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.

Sebaliknya, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu lebih memilih pendekatan politik kasih sayang bagi mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

Beliau yang juga Menteri Besar menegaskan, parti itu tidak akan sesekali terikut-ikut dengan budaya tidak sihat seperti diamalkan segelintir pihak memandangkan rakyat kini telah bijak membuat penilaian.

“Saya percaya kerosakan yang di bawa oleh kerajaan yang lalu sangat besar dan kita tidak ungkit (perkara itu) tetapi kita (berusaha) menyelesaikan masalah rakyat.

“(Kerana bagi kita) yang pentingnya kita mengelak diri daripada budaya ugut-mengugut atau balas dendam sebagaimana yang diuar-uarkan pimpinan kerajaan terdahulu.

“(Kalau kita lihat) nada balas dendam dan ugut-mengugut ini (dilakukan pimpinan kerajaan terdahulu) sentiasa berkumandang. Jadi, saya rasa rakyat harus (juga) sedar pendekatan yang di bawa oleh Pas ini iaitu politik kasih sayang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program menyantuni penduduk bersama calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri Mohd Yusop Majid di Kampung Merang, di sini pada Isnin.

Sementara itu, ditanya mengenai maklum balas rakyat terhadap parti berkenaan, Samsuri yang juga calon DUN Rhu Rendang berkata, sokongan yang diterima ketika ini sangat luas biasa.

Katanya, perkembangan positif itu bukan sahaja melibatkan negeri yang ditadbir Pas iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah, tetapi di negeri Pantai Barat.

“Kenapa saya kata (sokongan) luar biasa?..sebabnya kita lihat gelombang daripada itu sememangnya luar biasa daripada ketika berdepan dengan pelbagai pilihan raya sebelum ini dan kita harap momentum ini kekal sehingga hari pengundian,” katanya.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!