Chee Yee dipilih Timbalan Speaker DUN Melaka

Chee Yee - Foto Bernama
Chee Yee - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee dipilih sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada Isnin.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh ketika mengusulkan cadangan untuk Kerk mengisi jawatan tersebut berkata, ADUN Ayer Keroh tersebut mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan politik.

"Kerk, anak jati Melaka merupakan anak kepada (bekas) ADUN Durian Daun (mendiang) Kerk Kim Hock pada 1986 hingga 1990.

"Kerk juga mempunyai Ijazah Perdagangan dan Perakaunan di University of Melbourne, Australia dan mula aktif dalam politik sejak 2017,” katanya pada sidang DUN Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Isnin.

Ab Rauf berkata, Chee Yee, yang mula aktif dalam politik sejak 2017, pernah menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Penasihat DAP Tan Sri Lim Kit Siang serta pernah menjawat jawatan Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Sukan negeri pada 2018 hingga 2020.

Cadangan Ab Rauf itu kemudiannya disokong Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Cadangan melantik Chee Yee sebagai Timbalan Speaker DUN Melaka kemudiannya disokong 24 ADUN, dua berkecuali manakala dua tidak hadir.

DUN Melaka turut mencadangkan Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Mustafa Musa sebagai Ahli Dewan Negara bermula Isnin selama tiga tahun.

Cadangan itu dikemukakan Ab Rauf yang kemudiannya disokong Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan.

Usul mencalonkan Mustafa sebagai Ahli Dewan Negara itu kemudiannya disokong oleh 24 ADUN, dua berkecuali manakala dua tidak hadir. - Bernama