Serangan Sri Pahang kurang 'menyengat'

Aksi Liga Super melibatkan Sri Pahang FC dan Perak FC di Stadium Darul Makmur pada Ahad. - Foto Facebook Sri Pahang FC
Aksi Liga Super melibatkan Sri Pahang FC dan Perak FC di Stadium Darul Makmur pada Ahad. - Foto Facebook Sri Pahang FC
A
A
A

KEMENANGAN Sri Pahang FC dalam meraih tiga mata selepas menumpaskan Perak FC 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur pada Ahad tidak sesekali menimbulkan rasa puas hati pengendalinya, Fandi Ahmad.

Di sebalik kejayaan itu, Fandi bagaimanapun kurang gembira dengan prestasi permainan keseluruhan pasukan berkenaan apabila banyak peluang gagal dimanfaatkan anak buahnya terutama pada babak pertama perlawanan walaupun beberapa percubaan dilakukan pemain untuk menjaring gol pendahuluan.

"Saya ok dengan dari keputusan (menang) ke atas Perak, tapi secara keseluruhan saya tidak puas hati dengan bahagian serangan.

"Kalau dilihat serangan (dalam perlawanan) kurang menyerlah, tetapi pemain lebih banyak tertumpu dan berada di kawasan pertahanan sendiri dan ini sebenarnya boleh mengundang padah kepada pasukan.

"Saya gembira dengan kemenangan walau hanya satu gol, namun kita masih boleh bersaing dengan pasukan teratas Liga Super," katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

Pada Ahad, penyerang import Tok Gajah, Kpah Sherman muncul wira apabila jaringannya pada babak kedua minit ke-55 membantu skuad itu mengutip tiga mata.

Dengan kemenangan itu, Sri Pahang mengutip 37 mata dan berada di kedudukan keempat Liga Super.

Menjawab tempoh rehat dua minggu, legenda bola sepak Singapura itu mengakui ia sedikit sebanyak mengganggu momentum skuad Tok Gajah walaupun beberapa perlawanan persahabatan diadakan.

Ujarnya, berdepan dengan pasukan bawahan pasti memberi situasi berbeza dengan perlawanan sebenar.

"Kita hanyalah menjaringkan gol pada perlawanan itu dan kurang tekanan jika beraksi pada perlawanan sebenar seperti hari ini (Ahad).

"Apa pun saya harap pada perlawanan akan datang, pemain dapat bermain dengan lebih baik terutama persembahan meyakinkan di bahagian serangan," ujarnya.