SPRM perlu bebas, elak rakyat hilang kepercayaan - Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim ketika Ceramah Kelompok DUN Paroi pada Ahad malam.
Tuan Ibrahim ketika Ceramah Kelompok DUN Paroi pada Ahad malam.
A
A
A

SEREMBAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak secara bebas terutama dalam isu melibatkan pertikaian awam berkaitan unsur rasuah.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, agensi tersebut seharusnya lebih tegas agar rakyat tidak hilang kepercayaan kepada institusi anti rasuah.

"Sebab itu (kenyataan Ahmad Zahid) orang pertikai. Saya bukan nak pertikai kenyataan SPRM.

"Tetapi bagi kita perlu ada satu panduan, yang mana boleh dan mana tak boleh. Tak nak sekejap kata boleh, tapi (bila) pembangkang sediakan bas tak boleh, sedangkan ini 'direct' bagi duit.

"Dalam keputusan pilihan raya Kuala Terengganu, benda macam ini dianggap salah oleh mahkamah," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai Ceramah Kelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi pada Ahad.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang menyatakan tiada unsur rasuah dalam ucapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Terengganu pada Jumaat lalu.

Sebelum ini media melaporkan, SPRM mendapati tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah ekoran sebagai sebuah kerajaan, ia berhak untuk memberi inisiatif yang difikirkan wajar kepada rakyat.

Pengumuman Ahmad Zahid itu mendapat pelbagai reaksi terutama daripada golongan ahli politik termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sementara itu, mengenai keputusan parti yang tidak menyenaraikan Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), beliau menjelaskan, anak kepada bekas Mursyidul Am Pas itu sendiri tidak mahu terlibat atau bertanding kali ini.

"Dia sendiri pun beritahu tak nak tanding, jadi parti dah buat keputusan (iaitu) kekal keputusan dia tak nak tanding.

"Dia nak tumpu sekolah ayahnya (Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz). Secara peribadi saya sendiri ada jumpa dia semalam (Sabtu), ziarah dan dia masih kekal (keputusan tidak mahu bertanding)," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN:

'Pemberian geran inisiatif kerajaan, tiada unsur rasuah' - Azam Baki

'Tindakan Ahmad Zahid umum peruntukan dengan syarat mengundi jelas rasuah'

Pemuda Pas Terengganu lapor SPRM dakwa ucapan Zahid berbaur sogokan

Muda lapor polis dakwa ceramah Ahmad Zahid ada unsur sogokan

‘Jelas ini sogokan untuk beli undi’ - Syed Saddiq

'Ini adalah sogokan' - KJ

Bantuan belia: Zahid selar tuduhan Syed Saddiq