Nik Baharum nafi 'sailang' Nik Abduh tanding DUN Chempaka

Nik Baharum Nik Abdullah
Nik Baharum Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Calon Pas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, Nik Baharum Nik Abdullah menafikan beliau telah 'sailang' nama Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz untuk bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Beliau berkata, isu tersebut tidak timbul kerana semua penentuan calon diputuskan oleh Majlis Syura Ulamak selepas menjalani tapisan.

"Setiap kawasan DUN perlu mengemukakan lima nama. Bagaimanapun hanya dua yang akan diangkat ke peringkat Majlis Syura Ulamak.

"Macam yang dijelaskan oleh Datuk Mohd Amar Abdullah, nama Nik Abduh tidak pernah dicadangkan dari peringkat awal lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurut beliau, isu tersebut tidak menjejaskan sokongan terhadap Pas pada PRN kali ini termasuklah di dua lagi kawasan DUN iaitu Panchor dan Kijang.

Beliau yakin Pas akan terus diberi mandat oleh rakyat pada PRN nanti.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Adik kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat iaiti Nik Din Nik Mat mendakwa Mohd Amar menjadi punca ketiadaan nama Nik Abduh sebagai calon pilihan raya negeri (PRN) Kelantan.

Nik Din turut mendakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menghantar surat meminta Pas menyenaraikan nama Nik Abduh.

Beliau juga hairan apabila nama anak saudaranya itu tidak dicalonkan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Sebelum itu Mohd Amar menafikan beliau terlibat menggugurkan nama Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga anak bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai calon pilihan raya negeri (PRN).

Menyifatkan tuduhan itu sebagai satu fitnah, beliau menegaskan, pihak yang membuat tuduhan sedemikian tidak terlibat dalam mesyuarat pemilihan nama calon serta tiada sebarang jawatan dalam parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Nik Abduh, Mohd Amar: Nik Din diam diri

Mohd Amar didakwa punca nama Nik Abduh tiada sebagai calon

PRN: Mohd Amar nafi dakwaan gugur nama Nik Abduh sebagai calon

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!