'Sanusi ingat peluru besar tapi peluru kapur dan meriam buluh sahaja' - Saifuddin

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan lawatannya ke Langkawi Jumaat lalu, adalah atas urusan rasmi bagi mendengar taklimat daripada agensi keselamatan.

Katanya, sebagai anggota pentadbiran kerajaan yang menjaga portfolio keselamatan, beliau perlu diiringi sejumlah pegawai keselamatan dan perlu menginap di hotel bersamanya.

Berikutan itu, beliau mempertikai bagaimana borang tempahan yang dibuat agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah hotel milik Kerajaan Negeri Kedah boleh bocor dan diperolehi Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

"Saya adalah orang anggota pentadbiran yang memegang portfolio keselamatan kalau hotel dalam menguruskan perniagaan boleh dengan mudah membocorkan dokumen tempahan, borang tempahan. Itu tak bagus untuk perniagaan hotel itu.

"Di masa depan nanti kalau ada orang yang Menteri Besar tak setuju atau tak suka maka pihak hotel akan terus bagi begitu sahaja, tak bagus, itu menunjukkan lemahnya isu tatakelola bukan saja di peringkat Menteri Besar, termasuk oleh anak syarikat kerajaan negeri yang ada hotel macam ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat PKR Kedah, di sini pada Ahad.

Saifuddin berkata, tidak timbul isu beliau menyalah guna agensi kerajaan untuk berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti yang didakwa Sanusi.

Katanya, beliau turut kesal dengan tindakan memuat naik dokumen tempahan yang dibuat KDN di laman sosial Sanusi sehingga menimbulkan pelbagai reaksi.

"Kalau itu Menteri Besar cepat pick up masuk dalam Facebook dia, dia anggap ini peluru besar. Walaupun peluru kapur ya, meriam buluh saja, apabila tempahan dibuat oleh agensi di bawah saya dianggap sebagai menyalahgunakan (kuasa).

"Saya hadir untuk diberi taklimat oleh Ketua Polis Daerah Langkawi dan satu lagi agensi di bawah saya adalah Jabatan Imigresen. Takkanlah you nak pergi hanya untuk dengar taklimat, lebih produktif lawatan kita sebagai menteri untuk turun juga ke agensi-agensi di bawah kawal selia saya," katanya.

Semalam, Sanusi mendedahkan dokumen tempahan 15 bilik di sebuah hotel dipercayai di Kuah dengan bayaran dibuat Jabatan Imigresen Malaysia. - Awani.

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!