Ustaz Soberi meninggal dunia ketika beri kuliah Subuh

Mohd Soberi
Mohd Soberi
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Isma (MUIS), Dr Mohd Soberi Awang rebah ketika menyampaikan kuliah Subuh di Surau Al Ittihadiyyah, Seksyen 9 sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital.

Berita kematian Mohd Soberi itu dimaklumkan oleh menantunya, Mus’ab Umairi menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Ahad.

“Hari ini ayah mentua saya, almarhum Ustaz Dr Soberi Awang telah kembali kepada penciptanya. Subuh kami di Cairo dibasahi air mata rindu.

“Alhamdulillah atas nikmat bersama baba walau cuma sekejap, banyak Umai belajar daripada baba. Moga ALLAH tempatkan baba bersama para syuhada dan solehin,” tulisnya.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan menyifatkan Mohd Soberi sebagai seorang individu yang mudah untuk didekati dan tidak lokek berkongsi ilmu.

Menurutnya, beliau kerap ke rumah Allahyarham untuk menuntut ilmu dan fiqah harakah serta berdakwah sejak di Jordan sehingga pulang ke Malaysia.

“Pernah duduk bersimpuh menekuni bahan dakwah dan tarbiyah bersama beliau (Mohd Soberi) serta menghirup semangat perjuangan ketika mendapat titipan tarbiyah.

“Beliau merupakan seorang yang faqih dan menguasai fiqah Syafie dengan mendalam, kuat penguasaan Bahasa Arab dan ilmu syair Arab,” tulisnya di laman sosial, Facebook.

Pada masa sama, Mohd Azizee turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Mohd Soberi dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.