[VIDEO] Bekas pemain bola sepak didakwa pecah rumah, simpan barang curi

Mohd Azinee (baju jingga, dua dari kiri) dihadapkan di Mahkamah Majistret, atas tiga pertuduhan pecah rumah dan memiliki harta curi, bulan lalu dan awal bulan ini.
Mohd Azinee (baju jingga, dua dari kiri) dihadapkan di Mahkamah Majistret, atas tiga pertuduhan pecah rumah dan memiliki harta curi, bulan lalu dan awal bulan ini.
A
A
A

PONTIAN - Seorang bekas pemain bola sepak Liga Super Malaysia didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Ahad, atas tiga pertuduhan membabitkan pecah rumah dan memiliki harta curi, pada bulan lalu dan awal bulan ini.

Tertuduh Mohd Azinee Taib, 33, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Azinee dituduh bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas telah memecah masuk ke sebuah rumah di Taman Benut Utama, Benut, di sini bagi mencuri.

Kesalahan itu dilakukan pada kira-kira jam 12.05 tengah hari pada 8 Jun lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Azinee dituduh bersama-sama dua rakannya, Muhammad Hairul Hafiz Muzaren, 24, dan Khairul Akmal Zainol Abidin, 31, telah memecah sebuah rumah di Taman Cendana, Benut, di sini bagi mencuri.

Kesalahan itu dilakukan mereka kira-kira jam 1.15 petang pada 3 Julai lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Hairul dan Khairul Akmal mengaku tidak bersalah bagi kesalahan tersebut.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohd Azinee dituduh menyimpan harta curi membabitkan sebuah telefon bimbit jenama Oppo A5 bewarna putih milik mangsa rumah yang dipecah masuk.

Kesalahan itu dilakukannya di Jeti Nelayan Ayer Baloi, di sini kira-kira jam 4.30 petang, pada 3 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Selain itu, pertuduhan turut dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurezzati Zaini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nurezzati mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin sementara perbicaraan kes selesai.

Mohd Azinee meminta mahkamah merendahkan jaminan mengambil kira pendapatan bekerja di pasar hanya sekitar RM1,000 sebulan selain perlu menanggung lima orang anak, ibu dan ayah.

Majistret Nur Azzuin membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

Sebutan kes ditetapkan pada Ogos depan bagi serahan dokumen.

Pada awal Julai ini, polis berjaya menumpaskan 'Geng Eddy' dianggotai lima lelaki tempatan termasuk seorang bekas pemain bola sepak yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah ini, Batu Pahat, Muar dan Tangkak sejak Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, dengan penangkapan kesemua suspek berusia 24 hingga 34 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah dengan kerugian dianggarkan mencecah RM350,000.