Oman tak pandang rendah Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya bakal menghadapi kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November depan.
Skuad Harimau Malaya bakal menghadapi kempen Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November depan.
A
A
A

WALAUPUN disebut-sebut sebagai pasukan pilihan, Oman tidak akan memandang rendah lawan mereka termasuk skuad Harimau Malaya dalam saingan Kelayakan Piala Dunia pada November ini.

Pengarah Pasukan Kebangsaan Oman, Waleed Al Noumani berkata, kesemua pasukan yang diundi dalam Kumpulan D Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 mempunyai peluang sama rata untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Beliau berkata, prestasi kebanyakan pasukan bertanding telah meningkat ketika ini dan setiap pasukan juga telah menggunakan pendekatan baharu dalam strategi permainan mereka.

"Walaupun kita pernah berdepan pasukan itu sebelum ini, tapi kita perlu lebih berwaspada dengan apa yang akan dihadapi akan datang. Yang pasti, semua pasukan sedang bekerja keras untuk layak dan menang setiap perlawanan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Malaysia tewas dalam tiga perlawanan persahabatan menentang Oman, dengan pertemuan terakhir pada 2015 menyaksikan skuad Harimau Malaya dimalukan dengan kekalahan 0-6.

Selain Oman dan Malaysia, turut diundi dalam Kumpulan D ialah Kyrgyszstan dan pemenang bagi playoff antara Taiwan dan Timor Leste.

Pasukan menamatkan saingan di kedudukan dua teratas akan layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 sekali gus meraih slot automatik ke pentas Piala Asia 2027 manakala pasukan di tangga ketiga dan keempat kumpulan pula berpeluang merebut slot ke saingan Piala Asia 2027.

Berdasarkan ranking dunia, Oman berada di kedudukan ke-73, diikuti Kyrgyzstan (97), Malaysia (136), Taiwan (153) dan Timor-Leste (192) dan kelima-lima pasukan ini tidak pernah layak ke Piala Dunia.

Harimau Malaya di bawah kendalian Ketua Jurulatih Kim Pan Gon, mencipta sejarah tahun lepas apabila menamatkan penantian 42 tahun untuk layak secara merit ke saingan Piala Asia 2023 di Qatar, dijadual pada 12 Jan hingga 10 Feb tahun depan. - Bernama