Institusikan Pelaksanaan Ekonomi Madani

Dr Noor Azlan
Dr Noor Azlan
A
A
A

TAHNIAH YAB PM atas peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Ekonomi Rakyat. Sekitar dua minggu lalu, selepas menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2024, saya merumuskan ‘ada cahaya’ dalam perancangan ekonomi negara. Naratif Ekonomi Madani menerangkan lagi cahaya itu. Tahniah.

Penting bagi negara mempunyai kerangka yang jelas sabagai landasan pembangunan ekonomi. Ianya membantu pembentukan polisi dan perincian tindakan serta pelaksanaan yang bakal menyusul.

Penilaian kejayaan pelaksanaan dan keberkesanan tindakan mesti diaraskan kepada keberhasilan dan sasaran yang ingin dicapai.

Secara umumnya Ekonomi Madani yang diumumkan oleh PM mendasari kepada dua (2) tiang utama: Menstruktur Semula Ekonomi dan Meningkatkan Kualiti Kehidupan Rakyat.

Tindakan-tindakan khusus digariskan untuk setiap tiang teras ini berserta 7 sasaran pencapaian dalam tempoh 10 tahun yang ‘mencabar’ bagi saya. Semua kementerian diarahkan untuk mengemukakan perincian yang lebih khusus seiring dengan Ekonomi Madani.

Intipati Ekonomi Madani yang digariskan menyentuh tajuk-tajuk lazim yang umumnya bukan baharu menyentuh isu-isu struktur ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang sering diketengahkan dalam pelbagai dokumen perancangan pembangunan ekonomi dan sektoral sebelum ini dengan penekanan yang berbeza.

Saya telah meneliti pelbagai dokumen gagasan pembangunan ekonomi, dari Wawasan 2020, Misi Nasional dan Islam Hadhari, Model Ekonomi Baharu dan Pelan Transformasi Ekonomi, Wawasan Kemakmuran Bersama, Malaysia Prihatin, Keluarga Malaysia dan terkini Malaysia Madani.

Sebagai ahli ekonomi dan anggota perkhidmatan awam, saya menghormati semuanya sebagai gagasan yang diperkenalkan oleh pemimpin Nombor 1 negara. Semuanya adalah dokumen untuk membawa Malaysia ke depan, menjadi lebih hebat dan mensejahterakan rakyat.

Setiap satu digarab dengan penekanan yang memancarkan keutamaan dan harapan pemimpin semasa. Tanggungjawab kita semua memberi yang terbaik bagi merealisasikan gagasan-gagasan ini.

Pada saya ‘mencari yang baharu’ bukanlah cara menilai Ekonomi Madani. Malah hakikatnya kita tidak lagi perlu mencari subjek baharu. Kita tahu Malaysia sebuah negara yang pernah menempa nama berjaya dalam pembangunan, kita tahu setiap tantangan yang mencabar kita, kita tahu kita terperangkap, kita juga tahu isu-isu yang perlu ditangani, kita tahu perkara-perkara pokok yang perlu kita segerakan.

Pelbagai strategi telah digariskan sebelum ini, diselit dengan istilah-istilah strategi pembangunan terkini yang bombastic.

Saya juga pernah menggesa keperluan segera menstruktur ekonomi negara dan saya pernah mengingatkan tentang kesenjangan yang semakin melebar dan manfaat pembangunan yang tidak dirasai semua.

Kita terperangkap kerana kita tidak berjaya melaksanakan apa yang kita telah gariskan. Kita lemah dalam pelaksanaan. Komitment untuk memastikan apa yang digariskan dilaksanakan secara terancang dan teratur amat pokok.

Saya teruja dengan Ekonomi Madani, saya menyokong, cantik dan kemas olahannya. Namun, kerisauan saya ialah adakah kita komited secara ‘whole of nation’ dari pemimpin, pentadbir, sektor awam dan swasta dan rakyat untuk melaksanakannya.

Perenggan 108 ucapan PM mengingatkan “kita semua perlu bertekad merangkul keseluruhan kekuatan dan tenaga bagi menjayakan iltizam ini”. Kebersamaan tekad ini adalah penentu kepada kejayaan Ekonomi Madani.

Pelaksanaan Ekonomi Madani mesti diinstitusikan. Saya mencadangkan penubuhan sebuah pasukan khas yang berdedikasi dan diberi mandat penuh oleh PM untuk bertindak sebagai pasukan Penggerak Ekonomi Madani.

Ianya mesti dianggotai oleh individu-individu yang berkebolehan dan mempunyai kefahaman yang jelas, diyakini mempunyai kesungguhan dan keikhlasan untuk benar-benar menyaksikan Ekonomi Madani dapat direalisasikan.

Pasukan ini mesti bekerjasama dengan semua kementerian yang kekal menjadi perancang dan pelaksana kepada Ekonomi Madani. Pemantauan dan pelaporan yang berkala kepada PM dan perkongsian dengan masyarakat akan lebih meyakinkan komitmen merealisasikan Ekonomi Madani.

Semua pihak mesti jelas dan faham peranan masing-masing dan bersedia bersama menggerakkan Ekonomi Madani ini. Permasalah ditangani segera diperingkat pengoperasian. Sekiranya buntu perlu segera diangkat kepada perhatian PM. Bersama kita keluarkan negara dari ‘terperangkap’. Realisasikan Ekonomi Madani.

*Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali merupakan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, UKM (MINDA-UKM)