Tujuh ahli Parlimen bertanding di PRN

Gambar dari kiri: Mohamad, Anthony, Amirudin
Gambar dari kiri: Mohamad, Anthony, Amirudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya di enam negeri yang selesai pagi tadi menyaksikan tujuh Ahli Parlimen turut bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Antara tokoh politik yang menghantar borang pencalonan hari ini ialah Menteri Pertahanan merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan Ahli Parlimen Rembau, bertanding di DUN Rantau di Negeri Sembilan atas tiket Barisan Nasional (BN) bagi penggal kelima sejak 2004, berdepan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas, Rozmal Malakan.

Menteri Pengangkutan yang juga Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook bakal berdepan Rosmadi Ari (PN-Bersatu) untuk mempertahankan kerusi Chennah yang disandangnya sejak pilihan raya umum 2013.

Sementara itu, dua menteri besar dan seorang ketua menteri yang memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen, turut bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Antaranya, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (PH-PKR) yang juga Ahli Parlimen Gombak menghadapi pertandingan tiga penjuru bagi mempertahankan kerusi Sungai Tua, dicabar Muhammad Hanif Jamaluddin (PN-Pas) dan Suman Gopal, calon Bebas.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-PKR) yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, turut bertanding berdepan saingan empat penjuru untuk mempertahankan kerusi Sikamat yang diwakilinya sejak 2008, dicabar Ahmad Raihan Muhamad Hilal (PN-Bersatu) dan calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (PH-DAP) yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan dicabar H’ng Khoon Leng (PN-Gerakan), bagi mempertahankan kerusi Padang Kota yang dipegangnya selama tiga penggal sejak 2008.

Selain itu, Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bertanding mempertahankan kerusinya di DUN Air Putih yang disandang sejak PRU ke12, dicabar Kong Cheng Ann (PN-Gerakan) dan Tee Yee Chew (Parti Sosialis Malaysia).

Ahli Parlimen Jelebu yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO Pusat, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut bertanding di DUN Pertang dan dicabar calon PN daripada Pas, Amirudin Hassan.

Tempoh berkempen PRN yang ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang layak bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!