Lawan Rosmadi ibarat perlawanan persahabatan - Anthony

Calon DUN Chennah dari DAP Anthony (kanan) bersama lawannya dari Perikatan Nasional (PN), Rosmadi Arif selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri di Pusat Penamaan Calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Hua Kuala Klawang, pada Sabtu. - Foto Bernama
Calon DUN Chennah dari DAP Anthony (kanan) bersama lawannya dari Perikatan Nasional (PN), Rosmadi Arif selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri di Pusat Penamaan Calon Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Hua Kuala Klawang, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JELEBU - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Anthony Loke yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menyifatkan persaingan menentang Rosmadi Arif daripada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini umpama perlawanan persahabatan.

Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Pengangkutan itu berkata, walaupun mempunyai hubungan akrab dengan Rosmadi yang merupakan Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Chennah, beliau tidak memandang rendah keupayaan lawan dalam pertandingan satu lawan satu itu.

"Saya melihat ini sebagai ‘friendly match’, perlawanan antara dua kawan...saya akan mengadakan kempen secara positif dan tidak akan membuat kenyataan yang menyerang lawan. Kempen saya atas rekod perkhidmatan dan meyakinkan pengundi di DUN Chennah untuk kemenangan PH.

"Tiada istilah anak buah lawan bos, dalam politik ini kita mesti ada semangat yang positif jadi perlu bersama meraikan demokrasi. Kempen pilihan raya ini perlu dijalankan dengan aman dan tertib,” katanya kepada pemberita di Pusat Penamaan Calon DUN Chennah di SJK(C) Yuk Hua, Kuala Klawang di sini pada Sabtu.

Pencalonan mereka diumum oleh Pengurus Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ir Mohamad Ashrulnizam Abdul Rahim di Pusat Penamaan Calon SJK(C) Yuk Hua Kuala Klawang, Jelebu.

Anthony telah melantik Rosmadi seorang ahli Bersatu sebagai Pengerusi MPKK bagi Kampung Chennah ketika PH mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri pada 2018.

Walaupun Bersatu keluar daripada PH, Rosmadi tetap dikekalkan sebagai ketua kampung sehingga pernah digelar sebagai wira Kampung Chennah kerana menyelamatkan 70 penduduk di perkampungan Orang Asli Kampung Esok ketika bencana banjir di Jelebu pada 2021.

Dalam pada itu, Rosmadi berkata, walaupun Anthony adalah rakan karibnya, beliau tetap optimis untuk memberikan tentangan sengit bagi kemenangan di DUN tersebut.

"Anthony adalah sahabat karib dan beliau tahu membezakan antara parti dan tanggungjawab...jentera kita dah bergerak dan persaingan itu memang sengit kerana kita berlawan dengan Menteri, Setiausaha Agung DAP. Walaupun kami bersaing, sahabat tidak boleh putus," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, Loke mempertahankan DUN Chennah dengan meraih 5,031 undi dalam saingan tiga penjuru menentang Barisan Nasional dan PAS dengan memperoleh majoriti 1,155 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan pengundian pada 12 Ogos dan pengundian awal 8 Ogos. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PN) di enam negeri di sini!