Rafizi jelaskan idea pajak bumbung rumah dengan solar

Rafizi
Rafizi
A
A
A

SHAH ALAM - Rakyat boleh sewakan atau pajak bumbung rumah mereka kepada syarikat di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) bagi menambah pendapatan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, rakyat tidak perlu menanggung kos pemasangan panel solar itu sebaliknya syarikat tersebut akan bayar setiap bulan kepada mereka.

“Hasil daripada solar itu syarikat akan jual dan bekalkan elektrik kepada grid tenaga kita. Yang bagusnya bila kita buat seperti ini, semua orang yang ada rumah baik di Kelantan ke, Kedah ke, Terengganu ke, semua boleh dapat hasil daripada peralihan tenaga ini.

“Ramai yang tanya macam mana nak tambah pendapatan dengan sewakan atau pajak bumbung rumah untuk pasang tenaga solar bila kita umum rancangan peralihan tenaga semalam.

“Saya tahu nak keluarkan duit pasang panel solar mahal sekitar RM40,000 hingga RM50,000 jadi, syarikat akan keluarkan duit, bayar untuk pasang solar,” katanya dalam ciapan di Twitter beliau pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan Kementerian Ekonomi melancarkan NETR Fasa Pertama yang dijangka membuka peluang pelaburan antara RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Dengan peningkatan pelaburan yang dirangsang oleh NETR, ia membuka peluang untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan dan bernilai tinggi serta dianggarkan membawa kira-kira 23,000 pekerjaan berimpak tinggi.