Azmin berdalih, Rafizi pilih debat dengan Sanusi

Mohamed Azmin, Rafizi Ramli, Muhammad Sanusi
Mohamed Azmin, Rafizi Ramli, Muhammad Sanusi
A
A
A

SHAH ALAM - Melihatkan bekas Menteri Kanan Kluster Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seolah-olah berdalih untuk berdebat, Rafizi Ramli secara berseloroh memilih untuk sepentas dengan ‘panglima’ Perikatan Nasional (PN) yang sebenar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Ia susulan persetujuan bersyarat yang dikemukakan Azmin, iaitu Rafizi perlu membuktikan terlebih dahulu telah berjaya dalam pelaksanaan dan pemulihan ekonomi negara.

Dalam ciapannya di Twitter, Rafizi menyatakan rasa kesian dengan kenyataan berkenaan.

“Kesian. Dia bimbang rekod semasa (menjadi) Menteri Ekonomi ditanya. Jadi, untuk elak berdebat, bagi syarat turun harga minyak dahulu.

“Harga RON95 kalau tak kerana formula yang saya kempen dulu, sekarang RM3.10. Tak apalah, kita tunggu panglima PN yang sebenar, Menteri Besar Kedah,” ciapnya.

Laporan Sinar Harian pada Jumaat
Laporan Sinar Harian pada Jumaat

Rafizi yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencabar Azmin berdebat mengenai ekonomi Malaysia sekiranya pemimpin Perikatan Nasional itu berani ketika menyampaikan ceramah Jelajah Madani di Sri Tanjung, Port Dickson pada Selasa.

Susulan itu, Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail telah memberikan kesediaan untuk menerbitkan debat antara Rafizi dan Azmin manakala surat jemputan mengenai debat berkenaan juga telah dihantar kepada kedua-dua belah pihak.