Beri insentif kepada rakyat bukan sebab PRN - Ahmad Maslan

Ahmad menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Sistem iPATUH JKDM pada Jumaat. - Foto Bernama
Ahmad menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Sistem iPATUH JKDM pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengumuman beberapa insentif untuk rakyat oleh Kerajaan Perpaduan ketika ini bukan disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam sidang media selepas melancarkan sistem iPATUH di sini pada Jumaat, Ahmad berkata, kerajaan berhak untuk membuat pengumuman sebarang insentif kepada rakyat pada bila-bila masa sahaja.

"Takkan kalau ada pilihan raya, kerajaan tidak boleh buat apa-apa," katanya menambah kerajaan tidak akan mempedulikan sebarang kritikan luar sebaliknya akan terus fokus melaksanakan tugas berkesan untuk rakyat.

Ahmad mengulas kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menggesa kerajaan menghentikan amalan memberikan 'sagu hati pilihan raya' seperti yang diamalkan oleh pemimpin terdahulu.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan bersetuju menawarkan kredit e-tunai RM100 kepada semua rakyat dewasa Malaysia yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah, serta bantuan RM200 kepada pesara kerajaan.

Syed Saddiq memuat naik hantaran di laman Facebook miliknya berhubung 'bantuan khas RM300 buat penjawat awam' dan mempersoalkan pengumuman itu menjelang PRN.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian PRN di Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, serta Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu, manakala tarikh penamaan calon akan berlangsung esok, Sabtu 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos. - Bernama