Perebutan kerusi DUN Hulu Kelang sengit - Amirudin

Amirudin ditemui pada Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Cahaya dan Majlis Pelancaran Rumah Idaman Sari di Seksyen U12 di sini pada Jumaat.
Amirudin ditemui pada Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Cahaya dan Majlis Pelancaran Rumah Idaman Sari di Seksyen U12 di sini pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Selangor mengakui persaingan sengit perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Hulu Kelang apabila membabitkan dua figura politik di Selangor.

Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Besar bagaimanapun berkata, beliau yakin dengan kempen yang baik ia akan memihak kepada calon PH, Juwairiya Zulkifli.

Menurutnya, keyakinan itu juga dengan mengambil kira momentum sokongan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang semakin merosot.

"Selepas beliau (Azmin) meninggalkan Keadilan (PKR) lebih 70 peratus 'mercenary' yang ada dalam pasukan beliau sudah tiada selepas beliau tewas (di Parlimen Gombak).

"Saya jangkakan (ditambah) dengan beberapa isu-isu setempat beliau sudah hampir hilang keseluruhan pasukan (Parti Pribumi) Bersatu di bawah pimpinan beliau di Gombak.

"Sekarang beliau hanya bergantung harap sepenuhnya dengan jentera daripada Pas," katanya ditemui pada Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Cahaya dan Majlis Pelancaran Rumah Idaman Sari di Seksyen U12 di sini pada Jumaat.

Terdahulu, Mohamed Azmin sah tidak akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Antarabangsa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini sebaliknya, bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri itu akan bertanding di Hulu Kelang dan bakal melawan Juwairiya yang juga merupakan Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Majlis Pengisytiharan Calon PN Selangor di Taman Medan Rabu lalu.

Dalam pada itu, Amirudin turut yakin dengan kelebihan calon PH kerana Juwairiya merupakan anak tempatan dan menetap di kawasan berkenaan manakala lawannya bukan anak tempatan.

"Juhairiya adalah anak tempatan yang lahir di kawasan Hulu Kelang, membesar, bersekolah dan rumah keluarganya juga di sana manakala Azmin membesar di sana walaupun tidak dilahirkan di sana.

"Saya percaya akan ada satu persaingan sihat dan sangat sengit dan kita harap dapat membuahkan hasil dan mencapai kemenangan dengan beberapa kempen yang dijalankan nanti," katanya.