'Bukan mudah untuk hentikan konsert The 1975' - Penganjur

Kumpulan The 1975. Vokalis The 1975, Matty Healy (gambar kanan) dipercayai mabuk dan memegang botol minuman keras ketika membuat persembahan ketika konsert di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.
Kumpulan The 1975. Vokalis The 1975, Matty Healy (gambar kanan) dipercayai mabuk dan memegang botol minuman keras ketika membuat persembahan ketika konsert di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini.
A
A
A

PENGARAH Hiburan Future Sound Asia, selaku penganjur Good Vibes Festival, Wan Alman Ariffin menyangkal dakwaan yang mengatakan mereka mengambil masa yang agak lama untuk menghentikan persembahan band The 1975 di acara berkenaan lebih awal.

Namun, disebabkan kedegilan pengurus jelajah (tour manager) pada masa itu, mereka terpaksa menggunakan bantuan pihak berkuasa untuk tindakan susulan.

“Keputusan untuk menghentikan persembahan secara total, ia bukanlah satu hal yang mudah.

"Kami tidak buat keputusan secara sembarangan, banyak perkara perlu diteliti sebab artis dan peminat akan terlibat.

“Jadi, apabila insiden berkenaan (vokalis The 1975 bercium dengan gitaris) berlaku, kami minta tour manager The 1975 untuk hentikan persembahan, namun, dia seperti keberatan untuk berbuat demikian.

“Apabila mereka tidak mahu berhenti, kami terus meminta bantuan pihak berkuasa.

"Kami mengambil masa beberapa minit untuk menghentikan persembahan berkenaan,” katanya pada sidang media khas yang diadakan di ibu kota semalam.

Dalam pada itu, proses bayaran balik bagi penonton yang terkesan bakal diumum kelak, memandangkan pihak penganjur masih lagi meneliti cara yang sesuai.

Pada 21 Julai lalu, kerajaan Malaysia menghentikan festival muzik di Sepang dan menyekat kumpulan muzik The 1975 daripada melakukan persembahan kerana ‘tindakan tidak senonoh’ mereka.

Insiden pada malam tersebut telah mencetuskan kekecohan yang bukan saja menimbulkan kemarahan kerajaan, tetapi komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berkata, tindakan vokalis Matty Healy dan pemain bass Ross MacDonald boleh mendedahkan mereka kepada diskriminasi.

Susulan daripada itu, penganjur Good Vibes Festival 2023 telah diminta memberi penjelasan susulan aksi kurang sopan dalam konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu. - Awani/Gempak