PRN: Calon 'underdog' PN sedia berdepan Tok Mat

Mohamad Hasan, Rozmal Malakan
Mohamad Hasan, Rozmal Malakan
A
A
A

SEREMBAN - "Pilihan pengundi nak calon 'heavyweight' atau 'underdog'," itu reaksi Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan yang menjadi taruhan Perikatan Nasional (PN) untuk menentang Datuk Seri Mohamad Hasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, beliau sendiri lebih selesa sebagai calon 'underdog' kerana ia tiada tekanan.

"Walaupun Tok Mat calon heavyweight tapi dalam keadaan politik semasa kita, tak pasti lagi apa yang akan berlaku di depan.

"Ini kerana ia terpulang kepada pengundi dan saya pun tidak rasa tertekan kerana perlu berhadapan dengan Tok Mat malah mengucapkan terima kasih kepada parti kerana beri kepercayaan kepada saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PN Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Mohamad merupakan penyandang DUN Rantau sejak 2004 dan menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dari tahun 2004 hingga 2018.

Pada PRU14, Mohamad menang tanpa bertanding selepas Dr Streram gagal menyerahkan borang pencalonan pada 5 Mei 2018.

Dr Streram merangkap Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau kemudian memfailkan petisyen pada 23 Mei 2018 untuk membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun Mohamad secara rasmi mengekalkan kedudukannya selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dengan majoriti 4,510 undi.

Dalam persaingan empat penjuru itu, Mohamad memperoleh 10,397 undi manakala Streram 5,887 undi.