Khazan menentang Ahmad Razif di DUN Seberang Takir

Khazan
Khazan
A
A
A
MARANG - Pas mengumumkan calon dari Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Khazan Che Mat mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, 12 Ogos depan.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang sempena majlis pengisytiharan calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, di sini, pada malam Khamis.

Khazan akan menentang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.



Sementara itu, bekas Menteri Besar Terengganu ke-14 yang mesra dengan gelaran Cikgu Razif itu merupakan penyandang kerusi DUN Seberang Takir sejak 2008.

Pada PRU14 lalu, Ahmad Razif menghadapi saingan tiga penjuru, menewaskan calon Pas, Mohd Fazil Wahab dan calon PKR Abu Bakar dengan majoriti 1,884 undi.



Beliau mendapat 9,340 undian ketika menentang Mohd Fazil Wahab daripada parti Pas yang mendapat 7,456 undi.

Hari pengundian bagi PRN enam negeri akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos depan manakala penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai ini.

PRN melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan (45), Terengganu (32), Pulau Pinang (40), Selangor (56) dan Negeri Sembilan (36).

PRN enam negeri itu juga akan menyaksikan sebanyak 245 kerusi DUN menjadi rebutan parti-parti bertanding pada pilihan raya negeri kali ini untuk mendapatkan mandat rakyat.