Pas arah ahli, jentera ikut arahan hadapi PRN

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Pas mengarahkan semua ahli dan jentera parti di semua peringkat untuk mengikut arahan serta bergerak paling maksimum bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan serentak pada 12 Ogos ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebarang tingkah laku yang menyalahi dan merugikan parti adalah suatu kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sehingga dipecat daripada parti.

Katanya, ini termasuklah menjadi calon atau menyokong calon selain daripada Perikatan Nasional (PN)

"Oleh itu semua pemimpin dan ahli diingatkan agar taat serta patuh kepada segala arahan parti terutama oleh Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa Kerja Pas Pusat serta Jabatan Pilihan Raya Pas.

"Pas juga mewajibkan semua ahli-ahli dan penyokong agar keluar mengundi seawalnya pada hari mengundi kelak,'' jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Takiyuddin, sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden Pas bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan khususnya dalam tempoh pilihan raya ini.

"Pas yakin dengan perjuangannya yang berteraskan Islam serta hala tuju yang jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara yang digerakkan bersama gabungan PN akan terus diberikan mandat untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat jelata," ujarnya.