Banjir landa Punjab, ratusan penduduk terpaksa dipindahkan

Peniaga terpaksa menjual buah-buahan walaupun banjir melanda jalan raya di Karachi. - Foto AFP
Peniaga terpaksa menjual buah-buahan walaupun banjir melanda jalan raya di Karachi. - Foto AFP
A
A
A

LAHORE - Ratusan penduduk hilang tempat tinggal apabila sekurang-kurangnya 50 kampung ditenggelami air selepas tebing Sungai Chenab pecah di wilayah Punjab, Pakistan.

Sebelum ini, pihak berkuasa terpaksa memindahkan lebih 14,000 orang dari kampung di tempat lain di wilayah itu awal bulan ini kerana banjir yang disebabkan oleh hujan monsun.

"Anda boleh katakan hujan bermusim adalah punca paras air meningkat," kata Pegawai di Bilik Kawalan Banjir Chiniot, Aurong Zaib.

“Disebabkan hakisan sungai, kampung-kampung yang rendah telah terjejas akibat banjir,” katanya kepada AFP.

Difahamkan, paras sungai meningkat disebabkan negara jiran India telah membuka pintu air untuk melepaskan air ke sungai Indus.

Pegawai telah mengumumkan rancangan untuk membina benteng perlindungan di sepanjang Chenab tetapi memberi amaran lebih banyak kejadian banjir dijangka berlaku dalam beberapa hari akan datang.

Monsun musim panas menyumbang 70 hingga 80 peratus hujan tahunan Asia Selatan antara Jun dan September.

Sementara itu, saintis berkata, perubahan iklim menjadikan hujan bermusim lebih lebat dan tidak dapat diramalkan.

Pakistan adalah salah satu negara yang paling terdedah kepada risiko iklim jangka panjang. - AFP