Selangor peruntuk RM5 juta bantu OKU

Siti Mariah (dua kiri) mengiringi Menteri Besar (dua kanan) menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Yanis dan Kompleks Yanis pada Khamis.
Siti Mariah (dua kiri) mengiringi Menteri Besar (dua kanan) menyempurnakan Majlis Pra Pelancaran Yanis dan Kompleks Yanis pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri memperuntuk RM5 juta bagi memperluas inisiatif, program dan aktiviti golongan orang kurang upaya (OKU) menerusi Yayasan Insan Istimewa Selangor (Yanis).

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, penubuhan Yanis selaras dengan matlamat kedua Rancangan Selangor Pertama (RS-1).

"Ia bagi mempertingkatkan inklusiviti sosial dan kesejahteraan masyarakat di mana tumpuan khas diberikan terhadap kumpulan sasar serta sejajar dengan Dasar OKU Negara khususnya Teras Strategik 3; meningkatkan akses OKU kepada pendidikan, Teras Strategik 4; meningkatkan akses OKU kepada kesihatan dan Teras Strategik 9 (advokasi); meningkatkan kesedaran dan membentuk sikap positif di kalangan masyarakat terhadap OKU," katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pra-Pelancaran Yanis dan Kompleks Yanis disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Bangunan IDCC Shah Alam di Seksyen 15 di sini pada Khamis.

Siti Mariah menambah, Yanis juga akan memperluas perkhidmatan kepada golongan OKU tanpa mengira had umur selain meneruskan inisiatif dan program-program di bawah Anak Istimewa Selangor (Anis).

Menurutnya, program Anis sebelum ini tertumpu kepada kumpulan sasar di bawah 18 tahun seperti Program Bantuan Khas Anis, Bantuan Didik Anis, Akademi Anis, Independent Living Support Centre (ILSC), Pusat Sokongan Intervensi dan Pra Sekolah Anis.

"Selain itu, fokus Yanis juga akan diberikan kepada program pendidikan, latihan dan pendayaupayaan agar mereka (golongan OKU) mampu mandiri dan mendapatkan peluang pekerjaan yang baik," katanya.