PRN: Polis Selangor terima 15 laporan khianat bendera, kain rentang

Simulasi latihan amal ketenteraman sempena PRN dilakukan oleh PDRM Selangor di Petaling Jaya pada Khamis.
Simulasi latihan amal ketenteraman sempena PRN dilakukan oleh PDRM Selangor di Petaling Jaya pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 15 laporan berhubung perbuatan khianat terhadap kain rentang dan bendera pilihan raya negeri (PRN) di Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara laporan khianat yang diterima adalah lima di Kuala Selangor, Subang Jaya (dua laporan) dan masing-masing satu laporan di Gombak dan Klang Utara.

Menurutnya, sebanyak enam kertas siasatan dibuka berhubung perbuatan khianat tersebut.

"Lima kertas siasatan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan satu disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan latihan amal ketenteraman awam Kontinjen PDRM bersempena PRN di pekarangan parkir Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya dekat sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikaladevi.

Mengulas berhubung persiapan PDRM Kontinjen Selangor menjelang PRN, Hussein berkata, penugasan dan atur gerak petugas adalah melibatkan 13,043 pegawai dan anggota.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut seramai 2,200 anggota dan petugas PDRM dari luar Selangor serta dibantu oleh agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

"Persiapan dan kesiapsiagaan PDRM Selangor pada masa ini berada pada tahap terbaik bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang tempoh PRN.

"Sebanyak 27 lokasi panas telah dikenal pasti termasuk di Kuala Selangor, Shah Alam, Kuala Langat, Ampang, Klang, Serdang serta Sungai Buloh," katanya.

Hussein berkata, PDRM juga mengenal pasti 56 lokasi yang berpotensi berlaku kekecohan ekoran pertembungan sengit.

Tambahnya, beberapa unit di bawah PDRM seperti Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Tempur Ringan (LFS) serta Unit Tindakan Rusuhan Awam (Poru) akan dipersiapkan sepanjang tempoh PRN.

"Kekuatan PDRM di Selangor untuk PRN kali ini adalah lebih daripada mencukupi," katanya.

Sementara itu menurutnya, sebanyak 37 jalan melibatkan 12 daerah di Selangor akan ditutup pada hari penamaan calon pada Sabtu ini.

Katanya, penutupan itu bermula dari jam 6 pagi hingga 12 tengah hari.