NETR wujudkan peluang pelaburan RM1.85 trilion menjelang 2050

Rafizi (tengah) melancarkan NETR di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
Rafizi (tengah) melancarkan NETR di Kuala Lumpur pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A
PELAN Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan pada Khamis akan membuka lebih banyak peluang pelaburan bernilai RM435 bilion hingga RM1.85 trilion menjelang 2050.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini disasarkan daripada 10 inisiatif pemangkin meluas yang akan diperkenalkan seiring dengan pelancaran tersebut serta dasar-dasar yang diumumkan oleh kementerian itu serta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC).

"Pelaburan yang dipacu oleh NETR ini akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berpendapatan dan bernilai tinggi.

"Fasa pertama NETR itu sahaja dijangka mewujudkan kira-kira 23,000 pekerjaan berimpak tinggi,” katanya pada majlis pelancaran Fasa 1 NETR di sini, pada Khamis.

Menjelaskan selanjutnya, Rafizi berkata, NETR juga bukan sekadar dokumen yang menyenaraikan langkah-langkah sementara bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih, sebaliknya "menggabungkan strategi serta inisiatif yang boleh mentransformasi ekonomi, mata pencarian kita serta kedudukan di peringkat dunia.”

Pada masa sama, beliau berkata, pelan hala tuju itu dapat membantu usaha transformasi ekonomi negara dengan membuka peluang kerjasama menguntungkan serta baik untuk alam sekitar serta ekonomi.

Ini penting, katanya, berikutan sejak beberapa tahun lepas, pelaburan Malaysia dalam aspek tenaga boleh baharu (TBB) adalah ketinggalan berbanding negara lain yang memulakan usaha itu lebih lewat.

Beliau berkata, antara punca utamanya adalah tindakan pentadbiran sebelum ini yang tidak menjadikan industri TBB sebagai lubuk atau peluang menguntungkan untuk diceburi oleh perniagaan.

"Sehubungan itu, NETR adalah usaha kerajaan ini untuk mengubah ekonomi TBB supaya kita dapat meningkatkan kapasiti sedia ada dengan infrastruktur serta teknologi yang tepat,” katanya.

Bersandarkan kepentingan itu, Rafizi berkata, kementeriannya dan NRECC pada dua bulan lepas telah membuat keputusan dasar penting seperti menarik balik larangan eksport TBB dan mewujudkan pusat pertukaran elektrik kendalian pengagregat atau "aggregator” pasaran tunggal bagi memastikan harga yang adil serta telus.

"Bagi mengurangkan komitmen kerajaan, kita turut bertindak meningkatkan lagi sasaran kapasiti TBB yang dipasang kepada hampir dua kali iaitu daripada 40 peratus kepada 70 peratus menjelang 2050,” katanya.

Selain itu, antara projek-projek di bawha NETR adalah Zon TBB brsepadu yang akan diterajui oleh Khazanah Nasional Bhd menerusi usaha sama dengan UEM dan ITRAMAS.

"Pada (kapasiti) satu gigawatt, loji jana kuasa solar fotovolta hibrid tersebut adalah yang terbesar seumpamanya di Asia Tenggara.

"Impian besar kita itu telah berjaya menarik pelabur berprofil tinggi daripada blok-blok utama ekonomi yang berjumlah RM6 bilion,” katanya.

Rafizi juga menyifatkan NETR akan turut membuka gerbang hidrogen di Sarawak selaras dengan pelaksanaan beberapa projek untuk muncul sebagai hab hidrogen di negara ini selain rangka kerja berkaitan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) yang membolehkan pelbagai projek pemangkin dijalankan dalam tempoh dua tahun.

Menyentuh aspek mata pencarian, beliau berkata NETR menyasarkan untuk membolehkan keluarga Malaysia memahami sains dan data peralihan tenaga serta menjadikan tenaga bersih sebagai pilihan kewangan yang relevan untuk kebanyakan isi rumah pada masa ini.

Berikutan itu, kerajaan berhasrat untuk memberi pilihan kepada isi rumah menerusi penyewaan bumbung (bagi penjanaan tenaga) untuk mendapatkan pendapatan bulanan yang dapat mengurangkan bil elektrik selain menambah pendapatan.

"Kerajaan menerajui usaha itu dengan memperuntukkan sejumlah RM80 juta bagi pemasangan panel solar di bumbung bangunan-bangunan kerajaan.

"Kita turut mengubah amalan lama dengan tidak lagi menghukum agensi kerajaan dengan bertindak menolak belanjawan mereka daripada langkah penjimatan elektrik yang dijana secara solar," katanya.

Di samping itu, Rafizi berkata sebanyak 10,000 stesen pengecasan akan dipasang di sepanjang lebuh raya dan bangunan komersial menjelang 2025 manakala pengangkutan awam akan dijana secara elektrik bagi memastikan perjalanan yang menggunakan tenaga bersih. - Bernama