Bantuan khas tanda komitmen awal kerajaan semak gaji penjawat awam

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian bantuan khas kepada penjawat awam dan pesara kerajaan sebanyak RM300 dan RM200 menunjukkan komitmen awal kerajaan dalam usaha untuk menyemak semula gaji perkhidmatan berkenaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam amat dihargai.

Ujarnya, kerajaan diharapkan tidak melengahkan kajian semakan gaji termasuk janji berhubung pelarasan semula elaun tetap yang patut diterima oleh penjawat awam.

"Cuepacs berharap perkara ini dapat diumumkan Anwar dalam masa terdekat memandangkan ia sudah menjadi pertanyaan dalam kalangan warga penjawat awam.

"Usaha Perdana Menteri ini dapat memastikan manfaat tersebut dinikmati oleh penjawat awam yang begitu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

"Apatah lagi sistem saraan perkhidmatan awam ketika ini masih menggunakan Sistem Saraan Malaysia yang telah dilaksanakan sejak 1 November 2002 dan hanya ditambah baik sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Adnan, kini tiba masanya skim gaji berkenaan disemak semula mengikut persekitaran ekonomi semasa agar ia relevan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

"Sebagai penjawat awam, Cuepacs dan seluruh warga perkhidmatan ini akan terus berusaha gigih untuk menyokong hasrat kerajaan melaksanakan pembaharuan dalam urusan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Cuepacs yakin usaha dan inisiatif lain yang dirancang oleh Perdana Menteri ketika ini akan memberi manfaat kepada rakyat.

"Beri ruang dan masa yang cukup kepada Anwar memacu negara ke arah yang lebih baik," jelasnya.