Sanusi pertahan Jeneri, 4 Exco digugurkan, 13 penyandang kekal

Dari kiri: Sanusi, Baddrol, Radhi (atas) Haim Hilman dan Sharir.
Dari kiri: Sanusi, Baddrol, Radhi (atas) Haim Hilman dan Sharir.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menepati ramalan mempertahankan kerusi disandangnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dalam pilihan raya negeri ke-15 (PRN15).

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu bakal berdepan pencabar daripada Barisan Nasional (BN), iaitu Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim pada 12 Ogos ini.

Muhammad Sanusi juga diuarkan kekal sebagai calon Menteri Besar Kedah sekiranya parti itu berjaya mengekalkan kuasanya di negeri ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau menewaskan Mahadzir Abdul Hamid (BN-UMNO) dan Mohd Nazri Abu Hassan (PH-Bersatu) dengan majoriti 2,455 undi.

Muhammad Sanusi dijangka tidak berdepan kesukaran untuk terus menawan DUN Jeneri biarpun terpalit dengan pelbagai kontroversi dan pendakwaan di mahkamah bawah Akta Hasutan.

Populariti anak kelahiran Sik itu dilihat semakin melonjak selepas memegang jawatan nombor satu di Kedah, termasuk kalangan anak muda yang mengikuti perkembangan pemimpin itu di Tik Tok dengan lebih 432,700 pengikut.

Selain Muhammad Sanusi, empat nama yang sebelum ini dicanang memeriahkan PRN turut menepati ramalan.

Dua bekas kapten pasukan bola sepak Kedah, iaitu Radhi Mat Din dan Baddrol Bakhtiar masing-masing dipertaruhkan di DUN Alor Mengkudu dan Gurun, diyakini dapat menarik sokongan anak muda bagi mengukuhkan lagi PN.

Radhi yang sebelum ini tewas kepada Datuk Mahfuz Omar di Parlimen Pokok Sena (PRU14) sekali lagi akan berdepan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah itu.

Sementara Baddrol akan merebut kerusi Gurun bersama calon PH, yang juga Timbalan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah, Mohammed Firdaus Johari yang merupakan anak kepada penyandang kerusi berkenaan, Tan Sri Johari Abdul.

Dua lagi calon merupakan ahli akademik bertaraf profesor iaitu bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah bertanding di kerusi DUN Jitra, yang tidak dipertahankan oleh Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mengumumkan parti itu tidak menyertai PRN kali ini.

Haim Hilman akan berdepan calon PH, Datin Sabrina Ahmad dari PKR.

Seorang lagi merupakan bekas Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam di Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Mohd Suffian Yusoff di kerusi DUN Bandar Baharu bersaing dengan calon BN, iaitu Ketua Puteri UMNO Kedah, Nuraini Yusoff.

Secara keseluruhan, PN Kedah menampilkan 23 calon muka baharu dan 13 calon mempertahankan kerusi disandang, dengan komposisi 21 calon Pas, 12 dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta tiga calon Gerakan.

Empat Exco dari Bersatu digugurkan daripada senarai calon, iaitu Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang merupakan penyandang di DUN Guar Chempedak dan Lunas.

PN mencalonkan muka baharu, Abdul Ghafar Saad di DUN Guar Chempedak sementara Khairul Anuar Ramli di Lunas.

Dua lagi Exco yang digugurkan ialah Firdaus Ahmad yang juga penyandang kerusi DUN Kuah, digantikan dengan Amar Pared Mahmud. Sementara Dr Robert Ling Kui Ee penyandang DUN Sidam digantikan dengan Juliana Abdul Ghani.

Enam Exco dikekalkan di DUN masing-masing iaitu Datuk Mohd Hayati Othman (Tokai), Datuk Wan Romani Wan Salim (Bukit Pinang), Datuk Najmi Ahmad (Kupang), Munir Zakaria (Kuala Nerang), Datuk Siti Aishah Ghazali (Merbau Pulas) serta Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam).

Penyandang lain yang turut dikekalkan, Azhar Ibrahim (Ayer Hitam), Mohd Radzi Md Amin (Pedu), Salim Mahmood (Bukit Lada), Mohd Azam Abd Samat (Sungai Limau), Hanif Ghazali (Tanjung Dawai) dan Mansor Zakaria (Kuala Ketil).

Muka baharu diketengahkan termasuk penceramah agama, Shahrir Long yang pernah bertanding Parlimen Sungai Petani (PRU 2014) di DUN Pantai Merdeka.

Timbalan Ketua Penerangan Pemuda PN Malaysia, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir di DUN Kota Siputeh; Timbalan Pengerusi Bersatu Kedah, Mohd Taufik Yaacob (Bayu) serta Naib Ketua Wanita PN Kedah, Shamsilah Siru (Ayer Hangat).

Muhammad Amri Wahab (Derga), Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti), Chuan See Seng (Kota Darulaman), Rashidi Razak (Anak Bukit), Datuk Salleh Saidin (Kubang Rotan), Mardhiyyah Johari (Pengkalan Kundor), Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang), Ahmad Sulaiman (Belantek).

Azizan Hamzah (Bukit Selambau), Tai Kuang Tee (Bakar Arang), Juliana Abdul Ghani (Sidam) serta Wong Chia Zhen (Kulim).