Kes buli pelatih TUDM: Mindef tunggu laporan lengkap siasatan

Adly ditemui pada sidang akhbar selepas program Peduli Veteran Peringkat Selangor di Pasir Penambang, di sini pada Khamis.
Adly ditemui pada sidang akhbar selepas program Peduli Veteran Peringkat Selangor di Pasir Penambang, di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kementerian Pertahanan (Mindef) masih menunggu laporan lengkap berhubung siasatan dalaman kes pelatih kursus Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa menjadi mangsa pukul dalam kejadian buli di Pangkalan Udara Kuantan pada 12 April lalu.

Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, pihaknya belum menerima laporan daripada jawatankuasa khas siasatan.

"Kita sememangnya mempunyai jawatankuasa untuk membuat penilaian dan laporan itu akan dimaklumkan kepada Mesyuarat Tertinggi kementerian," katanya ketika ditemui pada program Peduli Veteran Peringkat Selangor di Pasir Penambang di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, Adly menegaskan, kementeriannya memandang serius perkara seumpama itu terutama melibatkan kes buli dan kecederaan.

Tambah Adly, pihaknya akan menerima laporan penuh jawatankuasa itu selepas siasatan lengkap diperoleh.

"Kebiasaannya kita akan turut memaklumkan kepada pihak keluarga mengenai hasil laporan kes buli tersebut, namun, ia tidak melibatkan kes yang disiasat oleh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM)," ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan polis mengesahkan terdapat empat lagi pelatih kursus TUDM didakwa menjadi mangsa pukul dalam kejadian buli itu.

Kesemua pelatih itu dikatakan mendedahkan perkara tersebut ketika disiasat berhubung kes buli yang dilaporkan lebih awal oleh keluarga seorang pelatih.

Kejadian itu tular di media sosial mengenai luahan seorang wanita mendakwa adik lelakinya dibuli sekumpulan anggota berpangkat koperal di pusat latihan tentera udara berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Kes buli pelatih TUDM, lebih 10 saksi dipanggil beri keterangan

Tindakan tegas menanti jika terlibat kes buli - Mohamad

Buli pelatih TUDM: Polis tunggu laporan perubatan