'Isu pertikaian calon perkara biasa' - Anthony Loke

Anthony ketika ditemui media pada Khamis.
Anthony ketika ditemui media pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menyifatkan isu pertikaian calon parti yang akan bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang sebagai perkara biasa.

Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, buat masa ini tumpuan diberikan ke arah kerja kementerian dalam usaha membangunkan ekonomi negara.

"Isu-isu (pertikaian calon) itu memang perkara biasa. Mereka akan bagi pandangan dan sebagainya tetapi saya rasa akan beri fokus pada kerja kita untuk mengembangkan semula ekonomi negara supaya dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat.

"Tentang hari ini kita fokus pada kerangka Ekonomi Madani, fokus pada perkara-perkara yang positif," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Memperkasa Ekonomi Madani di Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bukit Kiara pada Khamis.

Pada Selasa, media melaporkan bahawa DAP menggugurkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy daripada menjadi calon parti tersebut dalam PRN akan datang.

Ramasamy yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang itu, tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Sementara itu, Ramasamy pada Rabu mendakwa terdapat 'tangan ghaib' yang menjadi dalang di sebalik pemilihan calon parti itu untuk diletakkan pada PRN akan datang.

Menurutnya, perkara itu jelas menunjukkan bahawa semua yang menyokong Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow telah dipotong daripada senarai calon seperti yang diumumkan oleh Anthony.