Bantu industri media untuk terus bernyawa

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

USAHA Kementerian Komunikasi Digital (KKD) menjadi mediator antara organisasi media dengan syarikat gergasi teknologi seperti Meta dan Google perlu disegerakan kerana ia akan memberi kelangsungan hidup kepada industri tempatan.

Melihat kepada pendekatan yang dilakukan Australia yang memperkenalkan News Media Bargaining and Digital Platforms Bargaining Code di Australia dan Kanada (The Online News Act) membuatkan industri media di kedua-dua negara itu bukan hanya kembali ‘bernyawa’.

Malahan, pengendali turut membayar jumlah tertentu kepada organisasi media di negara berkenaan.

Usaha Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang berkata, beliau bersedia menjadi pemudah cara bagi membantu perunding organisasi media tempatan perlu disegerakan dengan disusuli aspek perundangan tempatan dan antarabangsa.

Jika dilihat hari ini, industri media terutamanya media cetak menunjukkan trend pembelian menurun kerana perkembangan teknologi yang begitu pantas sekali.

Pengiklanan yang sebelum ini membantu kos operasi juga semakin menurun apabila setiap daripada industri sudah mula menghasilkan promosi menerusi platform sendiri. Mereka sudah tidak bergantung kepada media utama negara.

Kewujudan media digital yang semakin rancak pula masih belum mampu menampung kos operasi syarikat hari ini, jika bergantung harap dengan royalti masih belum mampu bertahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Dr Chamil Wariya pernah menyuarakan pandangan agar kerajaan segera menyalurkan bantuan kepada industri media tempatan yang terkesan teruk akibat ‘gangguan’ teknologi digital ini.

Media masih perlukan suntikan menerusi dasar kerajaan yang disediakan, Kerajaan Malaysia Madani perlu mengambil berat hasrat ini menjadikan satu impak yang membantu media terus bernyawa. Menteri patut jadi orang tengah untuk merealisikan hasrat tersebut.

Kerajaan juga diharapkan agar tidak menganaktirikan industri media dan segera menyalurkan bantuan secara tidak langsung menerusi perbelanjaan pengiklanan.

Peranan media amat penting bagi melaporkan berita yang sahih dan tepat terutama di zaman yang terlalu banyak berita palsu dan fitnah yang tersebar meluas hampir setiap masa. Bayangkan jika semua media arus perdana bankrap!