PRN Kedah: Baddrol, Radhi Mat Din calon PN di Gurun, Alor Mengkudu

Baddrol (kanan) menjadi calon PN di Gurun, manakala Radhi (kiri) bertanding di DUN Alor Mengkudu. - Gambar fail
Baddrol (kanan) menjadi calon PN di Gurun, manakala Radhi (kiri) bertanding di DUN Alor Mengkudu. - Gambar fail
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Bekas kapten Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC, Baddrol Baktiar yang disebut-sebut bakal menceburi dunia politik sah menjadi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Perkara itu diumumkan pada majlis pengumuman calon PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, dekat sini pada malam Rabu.

Baddrol bakal berdepan calon Pakatan Harapan (PH) yang merupakan Timbalan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah dan juga anak kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Mohammed Firdaus Johari yang bertanding di DUN Gurun.

Pengumuman tersebut menutup spekulasi yang sebelum ini bertiup kencang selepas Baddrol yang sebelum ini menjadi tonggak Sabah FC telah meminta untuk berundur daripada skuad tersebut baru-baru ini.

Kemunculan Baddrol diyakini bakal menarik sokongan pengundi PN untuk mengukuhkan kedudukan gabungan itu di Kedah PRN, 12 Ogos nanti.

Selain pemain berusia 35 tahun itu, seorang lagi bekas kapten pasukan bola sepak Kedah, Radhi Mat Din juga diumumkan bertanding di kerusi DUN Alor Mengkudu.

Radhi bukanlah baharu dalam dunia politik kerana pernah menjadi calon Pas bagi kerusi Parlimen Pokok Sena pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun tewas dikalahkan Datuk Mahfuz Omar pada 2018.

Pada PRN kali ini, Radhi sekali lagi diramalkan bertemu Mahfuz sekali lagi yang merupakan Pengerusi PH Kedah yang turut disebut-sebut akan bertanding di DUN Alor Mengkudu.