Tiga anjing pengesan terima penghargaan bantu siasatan kes bunuh

Hussein bersama pegawai kanannya bergambar bersama Unit K9 Kontinjen Selangor selepas perhimpunan bulanan bagi bulan Julai 2023 di Menara 2 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.
Hussein bersama pegawai kanannya bergambar bersama Unit K9 Kontinjen Selangor selepas perhimpunan bulanan bagi bulan Julai 2023 di Menara 2 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga ekor Unit Anjing Pengesan (K9) dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor menerima sijil penghargaan atas kejayaan dalam membantu siasatan kes bunuh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tiga ekor anjing itu ialah K9 Leo, K9 Kansas, K9 Kidd dari Unit D6B.

"Antara kejayaannya ialah membantu siasatan kes bunuh, di mana K9 Kansas dan K9 Leo telah membuat pengesanan tompokan darah disyaki milik mangsa pada objek mnyerupai kayu dianggarkan 100 meter dari mayat yang dijumpai.

"Selain itu, K9 Kansas dan K9 Kidd turut berjaya membuat pengesanan tompokan darah dipercayai milik mangsa dan suspek dianggarkan 300 meter dari mayat yang dijumpai," katanya semasa ucapan dalam Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Selangor bagi bulan Julai 2023 anjuran JSJ Selangor di Menara 2 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Rabu.

Beliau berkata, semoga dengan penghargaan dan kejayaan itu akan menjadi pembakar semangat kepada warga kerja PDRM Selangor yang lain.

Sementara itu, Hussein turut menzahirkan penghargaan atas segala pengorbanan dan sokongan daripada seluruh warga kerja Polis Kontinjen Selangor, sejak beliau mula menerajui kontinjen Selangor.

Katanya, komitmen dan kesungguhan semua telah diterjemahkan dalam bentuk prestasi positif yang semakin menampakkan hasil.

Pada perhimpunan bulanan yang turut dihadiri timbalannya, Datuk S Sasikala dan ketua-ketua jabatan, Hussein telah merakam ucapan syabas dan tahniah kepada seramai 56 orang penerima Sijil Penghargaan Ketua Polis Selangor terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah dan pegawai awam.