Dakwa disamun untuk tuntut insurans, tiga sekeluarga didenda RM2,000

No Image Caption
A
A
A

BENTONG - Seorang bekas sami bersama isteri dan ibunya, masing-masing didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat laporan polis dan memberi keterangan palsu berhubung kejadian samun bagi tujuan tuntutan insurans, pertengahan bulan ini.

Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman juga memerintahkan R. Velayuthan, 47, isterinya G. Gunawathi, 44, dan ibu Velayuthan, C. Parvathy, 83, dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda itu.

Berdasarkan fakta kes, Velayuthan didakwa membuat laporan palsu kononnya isterinya telah disamun oleh tiga lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang semasa berseorangan di rumah, menyebabkan kerugian RM16,000.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati Velayuthan merupakan dalang utama dalam kejadian itu bagi membuat tuntutan insurans.

Bekas sami itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di Balai Polis Karak di sini pada pukul 4.53 petang, 17 Julai lepas, manakala Gunawathi dan Parvathy masing-masing didakwa memberi keterangan palsu pada 5.05 petang dan 5.44 petang hari sama kepada pegawai penyiasat yang menyiasat laporan itu.

Pendakwaan terhadap semua tertuduh dibuat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, peguam M. Kabilan yang mewakili semua tertuduh memohon denda paling minimum kerana mereka hanya bergantung kepada pendapatan bulanan Velayuthan sebanyak RM2,000 sebagai sami di sebuah kuil di Karak.

"Bagaimanapun tertuduh yang telah 23 tahun berkhidmat di kuil itu telah meletak jawatan ekoran kejadian ini. Tertuduh mempunyai reputasi baik dalam kalangan penduduk di Karak serta amat menyesal dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

"Gunawathi dan Parvathy juga menyesal dengan perbuatan mereka. Mereka tidak mempunyai niat lain melainkan hanya mengikut cakap suami dan anak (Velayuthan)," katanya.

Kabilan berkata semua tertuduh juga telah membuat pengakuan dan menjelaskan kejadian sebenar kepada polis semasa siasatan dijalankan, selain turut membuat pengakuan sama semasa kali pertama dihadapkan ke mahkamah.

Velayuthan dan Gunawathi mempunyai dua anak dan anak bongsu mereka berusia 14 tahun adalah Orang Kurang Upaya (OKU) yang dihantar ke sekolah khas.

Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana perbuatan mereka mendatangkan kesukaran kepada pihak berkuasa. - Bernama