Kempen ‘Say Something Nice’ galak rakyat sebar nilai-nilai positif

Zulkifli Hashim (dua dari kiri) bersama Anas Zubedy ketika melancarkan logo kempen 'Say Something Nice'.
Zulkifli Hashim (dua dari kiri) bersama Anas Zubedy ketika melancarkan logo kempen 'Say Something Nice'.
A
A
A

DAMANSARA - Dalam usaha mengukuhkan perpaduan antara kaum di negara ini, kempen ‘Say Something Nice’ yang memasuki tahun ke-10 pelaksanaan akan menumpukan kepada penghayatan untuk menguatkan #NilaiMoralKarakterBangsa serta menyebar nilai-nilai positif dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Zulkifli Hashim berkata, kempen ini merupakan satu inisiatif murni yang patut dipuji kerana menggalakkan penyebaran nilai-nilai positif ke seluruh negara, sekali gus dapat mempertingkatkan sikap cintakan negara.

"Selain itu, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan hubungan yang baik antara kaum dalam negara kita, kempen 'Say Something Nice' yang diadakan bertujuan menggalakkan orang ramai untuk berkata atau untuk bercakap sesuatu yang positif tentang Malaysia dan ia berlangsung seperti yang dimaklumkan selama 17 hari bermula dari Hari Merdeka sehingga sambutan Hari Malaysia.

"Kempen ini akan membawa rakyat Malaysia untuk meluahkan rasa kecintaannya terhadap negara, dan inilah sebenarnya semangat patriotik dan perpaduan yang perlu kita amalkan oleh seluruh lapisan rakyat negara ini, agar keharmonian dan kesejahteraan terus terpelihara," katanya ketika menyampaikan ucapan sempena pelancaran semula kempen berkenaan di Zubedy (m) Sdn Bhd di sini pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin; Presiden Ikram, Badlishah Sham Baharin; Ketua Paderi Tertinggi Malaysia, Datuk K Sri Dhammaratana; Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia, Archbishop Julian Leow Beng Kim; Pengerusi Yayasan Kemanusian Muslim Aid Malaysia, Wan Rosli Wan Muda; Penolong Setiausaha Agung Kehormat Malaysia Hindu Sangam, S Alagandran; Dekan Sekolah Seni Liberal dan Sains, Universiti Taylors Professor, Dr Anindita Dasgupta; Ketua Pengurusan Aset Jaya One Management Sdn Bhd dan Pengarah Pemasaran Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah.

Tambahnya, atas nilai tambah inilah yang mendorong Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional senantiasa mendukung serta memberi sokongan penuh terhadap kempen ini.

"Jabatan kami telah diberi tanggungjawab untuk memupuk dan memelihara perpaduan kaum di negara ini yang akan sentiasa memberi dorongan kepada mana-mana usaha pelbagai pihak dalam mengukuh dan menyuburkan perpaduan.

"Nilai perpaduan harus sentiasa dipelihara dan setiap lapisan masyarakat harus memahami bahawa kepelbagaian kaum dan agama dengan mengamalkan sikap perkongsian, saling hormat-menghormati dan menanam sikap toleransi sesama rakyat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy berkata, untuk tahun ini pihaknya memperkenalkan slogan 'berpada-pada dan maju ke hadapan' bersempena dengan pelancaran semula kempen ‘Say Something Nice’.

Jelasnya, pemilihan slogan berkenaan bertujuan untuk mencari titik persamaan dalam kepelbagaian rakyat di negara ini bagi membentuk sebuah masyarakat yang saling bertoleransi dan memahami.

"Berpada-pada membawa maksud, jangan berlebihan, jangan berkurangan, lakukan dengan betul, untuk menjadikan Malaysia yang lebih baik.

"Berpada-pada ialah titik tengah yang tidak keterlaluan, mencari keseimbangan antara kekurangan dan kelebihan ini bermakna melakukan perkara yang betul, berhubung dengan orang yang betul, pada masa yang betul, pada tahap yang betul, dengan cara yang betul, dan untuk tujuan yang betul," katanya.

Tambahnya, kempen ini juga sebagai masa 'gencatan senjata' untuk semua orang merenung dan menetapkan semula semangat cintakan negara dalam mencapai nilai perpaduan yang lebih sempurna.

"Marilah kita bersama-sama menyebarkan nilai-nilai positif dan memurnikan negara," katanya.