Kekasihku scammer, nelayan rugi hampir RM300,000

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Seorang nelayan kerugian RM284,850 akibat terjerat sindiket 'Love Scam' serta terpedaya dengan pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 27 tahun mula berkenalan dengan seorang wanita menerusi aplikasi WeChat November 2022, lalu jatuh cinta.

Menurut beliau, mangsa mula melabur sejak Januari lepas selepas suspek menjanjikan pulangan sehingga RM200,000 jika melabur sebanyak RM30,000.

"Kerana terlalu cintakan suspek, mangsa mula membuat pelaburan menerusi aplikasi mata wang kripto yang diberikan suspek.

"Bermula 6 Mac hingga 15 Julai lalu, mangsa membuat 99 transaksi dalam talian ke 21 akaun bank melibatkan kerugian sebanyak RM284,850," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mohd Yusri berkata, kesemua wang tersebut merupakan hasil simpanan mangsa serta pinjaman daripada ahli keluarga, rakan dan majikannya.

"Suspek mendesak mangsa untuk terus melabur walaupun kehabisan wang.

"Mangsa meminta suspek memulangkan semula wang tersebut tetapi pelbagai alasan diberikan dan suspek tidak lagi membalas mesej.

"Mangsa rasa tertipu telah membuat laporan polis sekitar jam 4.45 petang pada Selasa," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.